Peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Melaka dijangka meningkat tahun ini

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Kerajaan negeri menjangkakan peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di Melaka tahun ini akan meningkat berbanding dua tahun lalu susulan kebenaran penganjuran bazar seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, ia berikutan ramai dalam kalangan rakyat yang terkesan dan beralih kepada bidang perniagaan sejak pandemik COVID-19 melanda negara Mac tahun itu.

Selain itu, katanya inisiatif Melaka Bebas Berniaga yang dilaksanakan kerajaan negeri juga mampu menyumbang kepada peningkatan itu, namun pihaknya berharap kebenaran itu tidak menjadi tiket buat peniaga mengambil sikap sambil lewa terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta keselamatan orang ramai.

“Saya pun memang menjangkakan permohonan peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri akan meningkat disebabkan ramai orang terkesan dan tiada kerja pada waktu ini. Sedangkan juruterbang pun sekarang berniaga burger.

“Lagipun tahun lalu ramai tidak dapat berniaga di bazar. Jadi, saya rasa keinginan orang ramai untuk berniaga tahun ini akan lebih meningkat.

“Di peringkat kerajaan negeri bagi saya tiada masalah. Sesiapa sahaja boleh berniaga di tempat yang telah ditetapkan, cuma satu saya minta iaitu patuhilah SOP serta mematuhi segala syarat yang ditetapkan PBT,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya buat masa ini belum dapat memberi bayangan lokasi tapak kedua-dua bazar itu dan akan mengumumkannya selepas berbincang bersama persatuan peniaga terbabit.

“Kita sedia meneliti setiap cadangan lokasi tapak yang akan dibentangkan nanti. Cuma bagi mereka yang ingin berniaga, pada bila-bila masa sahaja sekarang sudah boleh membuat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

“Bagaimanapun, kita telah meletakkan satu syarat tambahan iaitu setiap peniaga yang ingin mendapatkan lesen diwajibkan mendaftar suntikan vaksin dan bersetuju untuk menerima vaksin.

“Kita akan beri keutamaan kepada mereka yang sudah berdaftar vaksin, termasuklah jika ingin berniaga di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri,” katanya lagi.

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat COVID-19 mengumumkan operasi Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dibenarkan di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun ini dengan syarat ketat.

Antara syarat ditetapkan ialah lokasi bazar di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala-pintu masuk dan keluar berbeza, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk dan mengawal had jumlah pengunjung.

Waktu operasi Bazar Ramadan bermula pada jam 3 petang hingga 8 malam manakala Bazar Aidilfitri dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam, manakala syarat-syarat lain seperti saiz tapak dan bilangan peniaga bergantung kepada PBT di setiap kawasan di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post Pemuliharaan pokok ikonik perlu diperluaskan
Next post Wanita rugi RM26,200 ditipu pembelian barang kemas dalam talian
Ubah saiz-+=