Penduduk bahagia, Jasin tenang dan mendamaikan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 16 Jun – Pembangunan yang tidak terlalu pesat, diikuti persekitaran yang mendamaikan antara sebab penduduk di daerah ini merasa tenang dan bahagia.

Penjawat awam, Suhaizan Noh, 42 berkata dia yang tinggal di Kampung Abbey Nyalas dan merupakan anak jati Jasin akan terus menetap di daerah itu kerana bandar berkenaan masih mengekalkan suasana kampung.

Tambahan lagi katanya, pembangunan yang tidak terlalu pesat memenuhi kehendaknya untuk membangunkan keluarga bahagia.

“Jasin menepati kriteria sebagai bandar bahagia kerana tenang dan tiada masalah jenayah yang serius selain kurang kesesakan trafik berbanding di bandar besar.

“Kita di sini pun tidak dibebani dengan masalah kehidupan yang mendesak serta penduduk setempat juga peramah,” katanya.

Sementara Syida Abu Bakar, 32, pula berkata, dia baru berpindah dari Ampang ke daerah itu setahun lalu selepas mendapat tawaran kerja di Melaka.

“Setakat ini saya rasa tenang dan bahagia kerana suasana serta persekitaran di daerah ini tenang dan mendamaikan berbanding ketika saya bekerja di Kuala Lumpur.

“Walaupun baharu sahaja menetap di sini, namun saya berasa semakin selesa serta dapat menyesuaikan diri dan akan terus menetap di sini untuk memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Bagi Nur Zalfarini Mohd Izab, 37, pula menganggap dirinya bertuah kerana menginap di bandar ini, yang diiktiraf sebagai antara bandar paling bahagia, susulan kemudahan asas yang lengkap termasuk penyediaan fasiliti seperti Pusat Komuniti Desa (PKD) dan pusat internet jalur lebar.

Jelas suri rumah yang menetap di Kampung Masjid Baru Nyalas itu, hubungan antara penduduk setempat juga amat baik, selain persekitaran yang tenang.

“Jasin memang sesuai diiktiraf sebagai bandar paling bahagia dan saya bersama keluarga bersyukur dan bahagia menetap di bandar ini.

“Ini bermakna PBT (pihak berkuasa tempatan) dan beberapa agensi lain turut bersama-sama memastikan penduduk Jasin hidup dalam keadaan aman dan bahagia,” katanya.

Pada 1 Jun lalu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) menyenaraikan 10 Bandar Paling Bahagia 2019 yang diiktiraf menlalui Kajian Indeks Kebahagiaan.

Jasin yang berada di bawah Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menduduki tempat kelapan daripada senarai 10 bandar berkenaan.

Views:

692
Kongsi :
Previous post Ibu bapa perlu semai amalan kebersihan sebelum prasekolah, tabika dibuka
Next post Pejuang Covid-19 kongsikan pengalaman sepanjang SJR
Ubah saiz-+=