Penduduk bimbang harimau kumbang

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

ALOR GAJAH 14 Mei. – Seorang wanita berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Sungai Petai, dekat sini, susulan penemuan kesan tapak kaki disyaki milik harimau kumbang kelmarin.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Zuraidah, 40, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Rabu lalu dia sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah.

 

 

ANGGOTA APM meninjau persekitaran rumah pengadu bagi mengesan harimau kumbang seperti didakwa pengadu.

Katanya, mereka sekeluarga masih bimbang haiwan liar itu yang pada mulanya disangkakan babi hutan muncul semula apatah lagi rumahnya berdekatan ladang getah.

“Mulanya saya ingat bunyi khinzir, namun lama kelamaan bunyi aneh itu seakan harimau menderam.

“Saya terus memanggil ibu dan bapa saya dan mereka juga mendengar bunyi aneh itu dan syak ia bunyi harimau kumbang.

“Saya lantas membuat pencarian di Google dan sah bunyi menderam itu adalah harimau kumbang,” katanya dihubungi di sini.

Zuraidah dia kemudian segera menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah untuk bantuan kerana bimbang haiwan liar itu merayau di kawasan rumahnya.

Katanya, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang datang membuat pemeriksaan tidak mengesan harimau kumbang itu tetapi ada menemui kesan tapak kakinya.

KESAN tapak kaki disyaki milik harimau kumbang di Kampung Sungai Petai. Foto- APM Alor Gajah.

“Saya ada menghubungi PERHILITAN selepas dinasihati anggota APM tetapi sehingga kini belum menerima apa-apa maklum balas. Saya bimbang dan kecewa,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Pertahanan Awam Daerah (PPAD), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima aduan jam 12.40 tengah malam dan mengarahkan sepasukan empat anggota ke lokasi.

Katanya, sejurus tiba di rumah pengadu, anggota APM menggunakan lampu limpah dari kenderaan untuk menyuluh di persekitaran rumanya namun gagal mengesan kelibat harimau kumbang itu.

“Anggota kami kemudian turun membuat pemeriksaan tetapi tidak menemui haiwan itu, namun kesan tapak kakinya ada ditemui.

“Berikutan itu, kami meminta pengadu membuat aduan terus kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang anggota APM yang mengikuti operasi itu, Sukri Abdul Hanif mendakwa ternampak kelibat haiwan itu menyelinap ke hutan berdekatan rumah pengadu ketika mereka menyuluh persekitaran rumah pengadu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1145
Kongsi :
Previous post SOP Ziarah Aidilfitri memuaskan – Bukit Aman
Next post ‘Jangan kaitkan vaksin punca kematian atlet memanah’ – KBS
Ubah saiz-+=