Penganjuran SMIX 2023 berskala lebih besar

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER KEROH 21 September – Persidangan Antarabangsa dan Expo Smart Melaka 2023 (SMIX 2023) dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 12 Oktober ini dijangka akan menerima lebih 30,000 kehadiran peserta dan pengunjung.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, berbanding penganjuran pertama tahun lalu, SMIX 2023 bakal berlangsung dalam skala lebih besar.

Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, SMIX 2023 bakal membabitkan penganjuran persidangan dan expo berkaitan sains,  digital serta teknologi pintar.

“Sasaran pengunjung ke SMIX 2023 adalah dalam kalangan rakyat Negeri Melaka sendiri selain pelancong luar termasuk antarabangsa. Kali ini kita menampilkan tiga personaliti berprofil tinggi yang akan menyampaikan ucaptama.

“Selain itu 40 ahli panel dan moderator dalam kalangan pakar rujuk selain pemain industri digital serta teknologi pintar akan mengambil bahagian dalam lapan sesi forum dirancang. SMIX 2023 akan dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tun Mutahir, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings (MICTH) Sdn. Bhd. Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Menurutnya, segmen expo pula bakal membabitkan 79 pempamer dan dimeriahkan dengan lapan program seperti Malaysia Investment Day 2023 (MID2023), Karnival Kerjaya Digital Melaka, MyFuture Jobs 2023, Pelancaran RICE Melaka @ UTeM, Pelancaran Bank Inovasi Melaka, Expo Smart Melaka serta Everxon Tech Expo.

“Turut akan berlangsung adalah Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Melaka, Malaysia Techlympics Peringkat Zon Selatan, Jelajah Saya Digital, Hari Sukan Negara 2023 dan E-Sport Piala Ketua Menteri. Bagi Hari Sukan Negara pada 14 Oktober dijangka akan membabitkan seramai 5,000 peserta.

“Penganjuran SMIX 2023 terajui oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN) selaku agensi peneraju, MITCH selaku agensi pelaksana bersama beberapa lagi agensi termasuk daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya penganjuran SMIX 2023 bertujuan untuk mengumpul semua pemain industri digital dan bandar pintar seluruh negara serta antarabangsa di Bandaraya Melaka bagi berkongsi idea selain bertukar-tukar pandangan.

Beliau berkata, SMIX 2023 juga bakal memberi impak ekonomi yang besar dan menyokong pembangunan masyarakat pintar sejajar dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ 2023) dan Smart Melaka Blueprint 2035,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1371
Kongsi :
Previous post Galak belia Melaka ceburi bidang pertanian
Next post Kanak-kanak dua tahun nyaris dirempuh kereta
Ubah saiz-+=