Galak belia Melaka ceburi bidang pertanian

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

GADEK 21 September – Belia dan beliawanis di negeri ini disaran menceburi bidang pertanian dalam usaha membantu meningkat sumber agromakanan negara.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam berkata, pelbagai jabatan serta agensi kerajaan berkaitan pertanian sedia untuk membantu memberikan khidmat nasihat secara percuma kepada belia yang berminat dalam bidang pertanian.

Shanmugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, turut mencadangkan agar belia mengusahakan tanah-tanah terbiar dengan pelbagai jenis tanaman boleh membawa pulangan yang lumayan kepada mereka.

“Jabatan Pertanian Negeri Melaka antara yang sedia membantu, apa yang penting belia ini perlu ada minat dan bukan sekadar mahu cuba-cuba untuk dapatkan geran sahaja. Belia di negeri ini perlu faham bahawa pertanian bukan sekadar bertani atau mengusahakan tanaman sahaja, sebaliknya ia kini menjadi sebahagian daripada peniagaan.

“Saya percaya jika bidang pertanian ini diperkasa pada pelbagai peringkat, ia sedikit sebanyak dapat memajukan industri agromakanan seterusnya mengawal harga makanan asas daripada naik mendadak di kemudian hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Alor Gajah di Balai Raya Kampung Gadek, di sini, hari ini.

Pada program itu, pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pameran bahagian teknikal Jabatan Pertanian, kursus pertanian percuma dan cabutan bertuah.

Menurutnya, menerusi program itu juga, masyarakat didedahkan dengan kaedah terkini pertanian bandar yang amat berguna bagi mereka berdepan masalah kekurangan tanah.

“Pertanian boleh dilakukan di mana-mana sahaja, apa yang penting seseorang itu mahu belajar sesuatu yang baharu dan sanggup menggunakan waktu pada hujung minggu atau hari cuti untuk bertani.

“Ini secara tidak langsung bukan sahaja dapat menjimatkan wang daripada membeli barangan makanan asas, bahkan sekiranya diusahakan dalam skala besar ia juga boleh menjana pendapatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1031
Kongsi :
Previous post Polis minta MCMC, CSM jejak sumber e-mel ancaman bom di Bank Negara
Next post Penganjuran SMIX 2023 berskala lebih besar
Ubah saiz-+=