Sorting by

×

Kanak-kanak dua tahun nyaris dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

ALOR GAJAH 21 September – Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun nyaris dilanggar selepas keluar secara tiba-tiba dari kereta untuk melintas jalan di Jalan Melaka Pindah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.51 pagi itu, kanak-kanak berkenaan terselamat selepas kereta yang melalui jalan berkenaan sempat menekan brek, namun seorang penunggang motosikal di belakang gagal mengelak dan mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ibu kepada kanak-kanak memberhentikan kereta di bahu jalan bagi menghantar anaknya ke sekolah.

Ketika menyeberang jalan, tanpa disedari seorang lagi anaknya yang berada di dalam kereta telah keluar dan melintas jalan.

“Ketika itu datang sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki seorang guru berusia 32 tahun melalui jalan berkenaan dan sempat menekan brek apabila melihat kanak-kanak itu melintas.

“Namun, datang sebuah lagi motosikal ditunggang pekerja kilang berusia 28 tahun dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang kereta Perodua Myvi itu.

“Akibat rempuhan, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan di beberapa anggota badan dan kedua-duanya telah membuat laporan polis serta dirakam percakapan,” katanya.

Menurut beliau, terdapat rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pada kereta berkenaan, namun saksi bebas diminta tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai Rule 10 LN 166/59 dan nasihat telah diberikan kepada penjaga untuk sentiasa peka serta mengawasi anak-anak,” katanya.

Terdahulu, rakaman video papan pemuka memaparkan insiden itu tular di media sosial.

Rakaman berdurasi 3 minit itu menunjukkan kanak-kanak itu secara tiba-tiba meluru ke tengah jalan raya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

9710
Kongsi :
Previous post Penganjuran SMIX 2023 berskala lebih besar
Next post Sebang Sentral perlu siap sebelum hujung tahun
Ubah saiz-+=