Sorting by

×

Sebang Sentral perlu siap sebelum hujung tahun

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

GADEK 22 September – Terminal Bas Pulau Sebang atau dikenali sebagai Sebang Sentral yang masih tergendala pembinaannya diharap dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam berkata, perkara itu adalah satu keutamaan memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut beliau, dengan adanya terminal bas dan pengangkutan awam di kawasan itu, ia secara tidak langsung dapat memudahkan urusan orang ramai khususnya pelancong menjelajah ke pelbagai destinasi menarik sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek.

“Jadi, saya amat berharap Sebang Sentral ini dapat disiapkan secepat mungkin, jika boleh tidak melebihi tempoh dua bulan.

“Memandangkan tahun depan ialah TMM2024, terminal ini diyakini dapat menjadi penghubung kepada pelancong untuk datang bercuti ke Gadek, sekali gus merealisasikan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dalam memperkasa pelancongan Negeri Melaka sempena TMM2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Alor Gajah di Balai Raya Kampung Gadek, di sini, hari ini.

Menurut Shanmugam, ketika ini terminal bas berkenaan sudah 90 peratus siap dan hanya tinggal baki 10 peratus kemasan terakhir sebelum ia boleh beroperasi.

Jelasnya, sebelum ini pemaju mengakui terdapat beberapa kekangan yang dialami menyebabkan terminal itu lewat siap daripada jangka masa sepatutnya.

“Saya telah berbincang dengan pemaju dan mereka mengakui terdapat kesukaran dalam mengusahakan syarikat mereka sejak akhir-akhir ini.

“Tetapi, mereka telah berjanji akan menyelesaikan dalam tempoh sebulan dua ini, selain menyuarakan komitmen bersungguh-sungguh mahu menyiapkan terminal ini.

“Saya juga telah mencadangkan kepada mereka supaya berbincang dengan kementerian atau jabatan serta agensi tertentu yang mungkin dapat mereka mempercepatkan projek ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1205
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak dua tahun nyaris dirempuh kereta
Next post Serabai istimewa dari Masjid Tanah
Ubah saiz-+=