Penggunaan air bawah tanah Malaysia kurang 3 peratus – PM

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

BERA, 26 Mac – Penggunaan air bawah tanah di Malaysia kurang daripada tiga peratus berbanding negara lain, walaupun Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu, setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kapasiti air yang sangat besar itu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara, namun buat masa ini air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

“Kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung Malaysia (2000-2050) mendapati air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar dan kawasan terpencil dan untuk pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian dan domestik melalui beberapa kaedah dan proses yang bersesuaian,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Taman Awam Bera di sini hari ini. Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Perdana Menteri berkata Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang giat melaksanakan aktiviti seperti pemetaan, pembangunan, pemantauan dan Pembangunan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah.

“Langkah ini bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber konjuntif bekalan air negara untuk kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah, imbuhan akuifer terurus dan susupan tebing sungai,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan sedang mengkaji semula Dasar Sumber Air Negara (DSAN) dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa dihadapi sektor air negara, serta akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

DSAN menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air dan antara teras utamanya ialah jaminan serta kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat melalui pemuliharaan dan pengurusan sumber air yang berkesan.

Perdana Menteri berkata walaupun negara mempunyai sumber air yang mencukupi bagi menyediakan air yang selamat dan terawat, masih terdapat isu dan cabaran berkaitan pengurusan air yang perlu ditangani secara berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negara yang lestari dan holistik.

Cabaran itu, antaranya kuantiti air yang ada kalanya berlebihan semasa musim hujan dan tidak mencukupi semasa musim kemarau selain kualiti air yang semakin merosot dan pengagihan yang tidak seimbang, katanya.

Perdana Menteri juga berharap kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, jabatan dan agensi untuk bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu serta dalam tindakan memelihara sumber air secara berterusan bagi memastikan ketersediaan air.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata pelaksanaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam atau PISMA bagi Bandar Bera oleh Jabatan Pengairan dan Saliran boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa hadapan lebih sistematik dan mampan.

Projek itu yang antara lain melibatkan sistem perparitan bagi mengurangkan risiko banjir dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk dalam kawasan Bera, apabila ia siap kelak.

Pada sambutan yang bertemakan ‘Melestarikan Sumber Air: Memanfaatkan Air Bawah Tanah’ itu, Ismail Sabri juga melancarkan buku bertajuk ‘Air dan Pembentungan di Malaysia: Sejarah serta Perspektif’ yang sesuai dijadikan rujukan pelajar, penyelidik dan institusi berkaitan. – BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Kongsi :
Previous post 70 peratus EXCO Johor adalah orang muda – MB
Next post Pekebun kecil RISDA dapat manfaat jika ketum dibenarkan eksport
Ubah saiz-+=