Penubuhan JPSM martabat sistem perundangan syariah negara

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 November – Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) merupakan satu solusi terbaik bagi memastikan proses perundangan syariah di negara ini dapat dilaksanakan secara telus dan saksama.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, JPSM mampu menjadi indikator bagi rekod catatan Jabatan Pendakwaan Negeri-Negeri dibawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha yang dibangunkan itu bagi memastikan pembelaan yang adil dan saksama dalam setiap perbicaraan perundangan.

“JPSM yang ditubuhkan memainkan peranan utama dalam menjalankan proses pendakwaan yang telus, bebas dan berintegriti ke atas pelaku kesalahan jenayah syariah berdasarkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang syariah yang diguna pakai.

“Selain itu, ianya berfungsi untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan kompetensi Pendakwa Syarie selain melaksanakan pengurusan hal ehwal pentadbiran yang lebih sistematik serta berkualiti.

“Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik bagi memperihalkan berkaitan Pendakwaan Syariah di Malaysia termasuk pengurusan dan tadbir urus, kemahiran Pendakwa Syarie, penyeragaman undang-undang jenayah syariah serta proses pelaksanaan perundangan yang telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia kali ke-5 2023 mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka (JPeNM), Atras Mohamad Zin dan Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Hazarudin Baharudin.

Terdahulu, kira-kira 50 Ketua Pendakwa Syarie seluruh negara berkampung di Melaka bagi membincangkan isu berkaitan perundangan jenayah syariah Malaysia termasuk daripada aspek kesan dan solusi yang terbaik.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik usaha berkenaan dan inisiatif mewujudkan pengasingan pentadbiran antara JKSM dan JPSM akan dilaksanakan sebagai langkah tepat memastikan pengurusan pentadbiran yang lebih telus serta dinamik.

“Sejajar dengan itu Kerajaan Negeri sentiasa memberikan sokongan penuh kepada JPeNM untuk mengekalkan dan meningkatkan usaha memartabatkan perundangan syariah di negeri ini.

“Saya harap setiap keputusan yang diputuskan Ketua-ketua Pendakwa di negara ini haruslah berteraskan perlembagaan perundangan dengan berpaksikan undang-undang sebenar sama ada ‘common law’ atau ‘syariah law’ dalam menegakkan keadilan.

“Semoga Jabatan Pendakwaan Syariah di setiap negeri di Malaysia dapat menegakkan perundangan syariah selaras dengan syariat Islam agar membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

924
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lelaki melecur seluruh badan terkena renjatan elektrik
Next post Melaka ArtPeX 2.0 gamit 800 pengunjung ke PMM
Ubah saiz-+=