Sorting by

×

Penunggang maut kemalangan ketika hujan renyai

Masa Membaca:56 Saat

PENGKALAN BATU 5 Julai – Pekerja kontraktor sebuah syarikat telekomunikasi maut selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dalam kejadian di Jalan Bachang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa Muhammad Azizan Azhar, 32, disahkan maut di lokasi kemalangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian mangsa menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam perjalanan dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Bachang menghala ke persimpangan lampu isyarat Bachang.

“Hasil siasatan kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi lalu jatuh terseret sejauh kira-kira 25 meter.

“Semasa mangsa terjatuh, Perodua Alza dipandu lelaki berusia 59 tahun yang datang dari arah bertentangan kebetulan melalui lokasi kejadian terlanggar penunggang motosikal terbabit,” katanya.

Christopher berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat selain kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Kejadian berlaku ketika hujan renyai, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1445
Kongsi :
Previous post Banjir di Baling, mayat dua sekeluarga ditemukan berpelukan
Next post ‘Minyak masak bersubsidi bukan untuk peniaga makanan’ – EXCO Pengguna
Ubah saiz-+=