Pertengkaran ‘berdarah’, pengurus syarikat maut ditikam

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Mei – Pergaduhan mulut di antara sekumpulan lelaki berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut ditikam dalam kejadian di Jalan Kenanga 3/35, Taman Kenanga, Tengkera, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa seorang pengurus syarikat di Bukit Rambai berusia 35 tahun maut akibat tikaman yang mengenai jantung.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati pertengkaran itu berlaku apabila mangsa dan empat rakan yang mabuk selepas berhibur, singgah di sebuah gerai untuk makan dan minum.

Katanya, selesai makan, berlaku pertengkaran di antara mangsa dengan dua lagi lelaki yang berada di lokasi tersebut.

“Pergaduhan bermula dipercayai kerana mangsa berbual dengan rakan-rakan mengenai payudara seorang wanita berusia 26 tahun di gerai tersebut.

“Perbualan itu didengari pengawal peribadi dan teman lelaki wanita berkenaan yang menegur mangsa sebelum keadaan menjadi tegang dan berlaku tolak-menolak, tumbuk-menumbuk serta tikaman ke atas mangsa,” katanya.

Christopher berkata, akibat tikaman itu, mangsa telah rebah dan tidak sedarkan diri, sebelum dibawa ke Hospital Melaka oleh dua rakannya menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil bedah siasat, punca kematian adalah disebabkan ‘stab wound to the heart,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihak polis telah menahan tujuh individu berusia lingkungan 25 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, turut dirampas sebilah pisau dan sebatang besi yang dipercayai senjata dalam kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Christopher turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba membuat spekulasi bertujuan mengganggu gugat keharmonian masyarakat di daerah Melaka Tengah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4052
Kongsi :
Previous post Pantau kebersihan LTAM
Next post Hari Ibu: Yakult himpun ibu-ibu Melaka pupuk kesedaran kesihatan
Ubah saiz-+=