PM Ismail Sabri tiba di Washington D.C untuk hadiri sidang kemuncak ASEAN-AS
WASHINGTON D.C, 10 Mei – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di sini Selasa (Rabu di Malaysia) untuk lawatan kerja empat hari termasuk pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pemimpin ASEAN.
Perdana menteri Malaysia tiba di Pangkalan Udara Andrew, di sini, pada 8.16 malam (8.16 pagi Rabu di Malaysia).
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau kemudian disambut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan dan pegawai kanan Malaysia ketika tiba di sebuah hotel di sini.
Perdana Menteri akan menyertai Biden, Naib Presiden AS, Kamala Harris dan pemimpin ASEAN lain dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat yang berlangsung selama dua hari di sini, bermula Khamis ini (Jumaat di Malaysia).
Presiden Biden akan menghoskan majlis makan malam untuk pemimpin ASEAN di Rumah Putih pada Khamis (Jumaat di Malaysia).
Ia diikuti pertemuan presiden AS dengan pemimpin ASEAN di Jabatan Negara AS, tempat sidang kemuncak khas, di sini, pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Sidang kemuncak khas itu menandakan ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN-AS dan sidang kemuncak khas kedua yang dianjurkan oleh presiden AS di negara ini selepas presiden ketika itu Barack Obama mengalu-alukan pemimpin ASEAN di Sunnylands, California pada Feb 2016.
Ismail Sabri bersama pemimpin ASEAN juga akan menyertai perbincangan dengan naib presiden Harris di Jabatan Negara pada hari Jumaat (Sabtu di Malaysia).
Perdana Menteri juga akan bertemu Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo dan Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai di sini pada Khamis (Jumaat di Malaysia).
Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu ketua-ketua industri Amerika serta Majlis Perniagaan dan Dewan Perniagaan AS-ASEAN di sini pada Khamis.
Beliau juga akan mengambil peluang bertemu diaspora Malaysia semasa majlis Hari Raya Aidilfitri Keluarga Malaysia di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia).
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.