ERP: Sokongan padu terhadap PKS dan rakyat

Masa Membaca:56 Saat

KUALA LUMPUR 5 Jun – Kerajaan membuktikan bahawa ia melakukan sedaya mungkin dalam usaha menyokong rakyat, kumpulan yang terjejas dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan meletakkan asas yang kukuh menerusi sokongan kewangan dan inisiatif menyeluruh.

Di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) jangka pendek, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan 40 inisiatif bernilai RM35 bilion yang mana sebahagian besarnya disasarkan bagi jaminan pekerjaan termasuk yang berada dalam ekonomi gig, kemahiran semula dan membantu aliran tunai bagi perniagaan.

Antara lainnya, kerajaan akan memudahkan dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor ini.

Ini akan dilakukan menerusi padanan geran bernilai sehingga RM50 juta bagi platform ekonomi gig yang menyumbang bagi pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO sehingga RM162 dan Skim i-Saraan KWSP sehingga RM250 setahun.

Ia juga akan menyediakan peruntukan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebanyak RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang menyediakan kepada pelanggan antarabangsa ketika bekerja dari rumah.

Dalam usaha menggalakkan perusahaan mikro dan PKS menggunakan perkhidmatan digital, kerajaan bersama dengan sektor swasta akan membiayai usaha ini menerusi geran padanan bernilai RM140 juta.

— BERNAMA

Views:

415
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak autisme jumpa Norhizam mohon bantuan
Next post PENJANA: RM9 bilion akan diperuntuk kerajaan bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat
Ubah saiz-+=