Polis, pemimpin setempat perlu jalin kerjasama

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Pemimpin setempat khususnya di peringkat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu menjalinkan kerjasama erat dengan pihak berkuasa dan agensi keselamatan negeri, termasuklah anggota polis.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, jalinan kerjasama itu sangat penting bagi memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

Katanya, penglibatan kedua-dua pihak juga dapat memastikan segala permasalahan rakyat dapat didengari lebih awal, selain turut berupaya mengurangkan kadar jenayah terutama di kawasan luar bandar.

“Kita semua sedia maklum bahawa polis dan masyarakat berpisah tiada. Jadi, sebab itulah saya mahu adanya satu bentuk kerjasama di antara pihak Japerun dan juga JPKK di semua peringkat dan kawasan di negeri ini.

“Kalau boleh, setiap kali mesyuarat, kita mahu pihak keselamatan (polis) dijemput sama terutama dalam menyalurkan maklumat-maklumat sama ada di peringkat masyarakat atau daripada pihak polis sendiri.

“Diharap dengan kerjasama ini, segala masalah keselamatan dan pembangunan kampung dapat dilaksanakan sekali gus membantu Melaka menjadi sebuah negeri yang harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas mengadakan lawatan di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Melaka Datuk Mat Kasim Karim dan Timbalannya, Datuk Sharul Lalli Masduki.

Views:

678
Kongsi :
Previous post KM terima kunjung hormat YDP DUN Terengganu
Next post Banci 2020 demi kesejahteraan Melaka
Ubah saiz-+=