Polis tahan rakyat Jerman kerana ceroboh, ugut jiran

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SHAH ALAM 28 Mei – Polis Klang Utara menahan seorang lelaki rakyat Jerman berusia 60-an kerana disyaki menceroboh dan mengugut jirannya selepas ditegur tidak menguruskan pokok yang ditanam warga emas itu dengan baik di Taman Desa Permai, Meru, Klang dekat sini, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintenden Mohd Khairi Shafie berkata, dalam insiden yang dilaporkan berlaku pada awal pagi itu, suspek didakwa menceroboh masuk ke tempat letak kereta rumah pengadu dan telah menyebabkan kerosakan pada tayar kereta pengadu.

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintenden Mohd Khairi Shafie.

“Pengadu sempat membuka pintu rumah dan suspek telah mengugut mahu memotong tangan pengadu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati pengadu, yang merupakan ahli jawatankuasa taman perumahan itu, telah menegur suspek kerana menanam pokok di hadapan rumahnya dan di kawasan taman permainan perumahan tersebut tetapi tidak diurus dengan baik.

“Suspek dipercayai pernah mendapatkan rawatan sebagai pesakit psikiatri namun telah disahkan bebas daripada penyakit itu tetapi kadangkala tidak dapat mengawal diri,” katanya.

Mohd Khairi berkata suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas percakapannya dirakam dan kes disiasat mengikut Seksyen 427/447/506 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat pendakwa raya secepat mungkin untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

648
Kongsi :
Previous post LRT laluan Kelana Jaya kembali beroperasi sepenuhnya jam 3.45 petang tadi
Next post Permintaan sanitasi bagi masjid, surau di Melaka meningkat sepanjang Ramadan – JBPM
Ubah saiz-+=