Polis tahan tiga lelaki dipercayai terlibat dua kes samun

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

PASIR GUDANG, 29 Julai – Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam dua kejadian samun di kawasan Taman Scientex di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kesemuanya yang berusia 21 hingga 27 tahun ditahan di dua lokasi di sekitar Johor Bahru dan Pasir Gudang antara 4.05 petang dan 5.30 petang.

Beliau berkata tangkapan itu susulan kejadian samun bersenjatakan tukul di sebuah kedai serbaneka Taman Scientex, kira-kira 1.25 pagi semalam melibatkan tiga lelaki yang merampas wang tunai di kaunter dan telefon bimbit milik pekerja premis terbabit.

“Kejadian samun kedua pula berlaku di sebuah hotel bajet di Taman Scientex, kira-kira 2.45 pagi semalam dengan tiga individu itu disyaki merampas beg pekerja hotel yang mengandungi dokumen peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata hasil semakan rekod lampau mendapati seorang daripada lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah manakala dua yang lain masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu rekod berkaitan dadah.

Beliau berkata polis turut merampas barangan dipercayai digunakan mereka dalam jenayah terbabit dan hasil tangkapan kumpulan itu, kedua-dua kes samun tersebut berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

Katanya mereka direman hingga 4 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1151
Kongsi :
Previous post Bincang isu had umur belia
Next post Pasukan debat Melaka International School harumkan nama Malaysia
Ubah saiz-+=