Polis tahan tiga lelaki, rampas heroin bernilai RM120,000

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

GEORGE TOWN, 17 Jun – Tindakan seorang lelaki memecut laju kenderaannya ketika cuba melarikan diri dari pihak polis berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah, melibatkan rampasan heroin bernilai RM120,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mohd Shukairy Abd Sabhe berkata sebuah kereta Volkswagen Passat dikesan dalam keadaan mencurigakan di Jalan Besar Nibong Tebal, dekat sini pada 3.50 petang Rabu lepas.

“Polis mengarahkan pemandu kereta itu memberhentikan kenderaan namun dia enggan malah terus memecut laju sebelum pasukan kami mengejarnya sehingga 200 meter dan kereta berkenaan kemudiannya terbabas ke kiri jalan.

“Pasukan kami berjaya mengepung kereta suspek sebelum menahan pemandu lelaki berusia 36 tahun itu dan pemeriksaan lanjut polis menemui 9,030 gram heroin bernilai RM120,000 dalam kenderaan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, lelaki yang bekerja sebagai nelayan itu dalam perjalanan mengedar dadah dan kenderaannya menghala ke kawasan utara.

Mohd Shukairy berkata susulan penahanan itu, polis menahan dua lagi lelaki iaitu seorang penternak ikan berusia 53 tahun di Kuala Kurau, Perak dan seorang nelayan berumur 34 tahun di Nibong Tebal pada hari yang sama.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu merupakan ahli sindiket pengedaran heroin di sekitar negeri ini dan Perak, mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak awal Januari dan mampu mengaut keuntungan ratusan ribu ringgit setiap bulan,” katanya.

Menurutnya ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah dan turut mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Beliau berkata lelaki pertama direman sehingga 22 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1983.

Katanya polis turut menyita wang tunai sebanyak RM50,000 dan sebuah kereta bernilai RM80,000, manakala heroin dirampas boleh digunakan oleh 45,000 penagih dadah.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1403
Kongsi :
Previous post Kenderaan milik Ahli Parlimen Jelutong terlibat kemalangan
Next post Kursus percuma dan bantuan RM2,000 untuk bakal usahawan muda 
Ubah saiz-+=