Sorting by

×

POTENSI KERJASAMA PELANCONGAN MELAKA-JEDDAH

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 5 Mei – Peluang menyertai delegasi rasmi Malaysia ke Jeddah, Arab Saudi dimanfaatkan sepenuhnya Kerajaan Negeri bagi menjalin kerjasama strategik dalam sudut pelancongan dan pendidikan.

Lawatan rasmi itu diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan turut disertai Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy; Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Roslan Sharif serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Abdul Razak yang mengetuai delegasi Kerajaan Melaka memaklumkan, ruang dan peluang kerjasama itu diteroka bersama tiga agensi pelancongan terkemuka Arab Saudi, iaitu Al Ahram Travel & Tourism, Attar Travel serta Al Faris International Travel & Tourism.

Jelas beliau, mesyuarat bersama Al Ahram Travel menumpukan kepada potensi mempromosikan kursus pendek dan program musim panas kepada pelajar dari Arab Saudi, selain memperhalusi cadangan visa pelajar dari negara ketiga seperti Afrika Selatan.

Tambah beliau, menerusi mesyuarat itu, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menawarkan program ‘fam trip’, khas untuk 20 wakil cawangan Al Ahram di Arab Saudi bagi merasai sendiri pengalaman pelancongan Malaysia, termasuk Melaka sebagai destinasi utama.

“Sesi bersama Attar Travel pula menekankan potensi pakej pelancongan keluarga dan berkumpulan dari Timur Tengah, dengan Melaka ditampilkan sebagai destinasi yang kaya dengan sejarah dan mesra pengunjung Arab.

“Manakala perbincangan bersama Al Faris International Travel & Tourism membuka peluang pelancongan premium yang merangkumi pelancongan kesihatan, golf, warisan dan pelayaran mewah yang dapat memenuhi kehendak pelancong berpendapatan tinggi dari rantau ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau.

Menurut Abdul Razak, dalam setiap perbincangan, beliau turut mengambil kesempatan untuk mempromosikan Melaka sebagai tuan rumah sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025, yang akan menghimpunkan pemain industri pelancongan global ke negeri bersejarah ini.

“WTD2025 merupakan peluang besar untuk Melaka melonjak ke pentas antarabangsa sebagai destinasi warisan dunia yang progresif dan bersedia menerima kedatangan pelancong antarabangsa.

“Saya yakin misi ini akan membuka lebih banyak pintu kerjasama dan membawa manfaat jangka panjang kepada pembangunan industri pelancongan Melaka,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

589
Kongsi :
Previous post GAGAL DIHUBUNGI, WARGA EMAS DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DALAM RUMAH
Next post MARITIM GAGALKAN SINDIKET SELUDUP CECAIR DADAH BERNILAI RM15 JUTA DI PENGKALAN BALAK