PPV ‘offsite’ beri dos penggalak secara ‘walk in’ kepada warga emas mulai Isnin
Menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), sijil vaksinasi digital yang lengkap di aplikasi MySejahtera diperlukan sebagai prasyarat untuk hadir secara jumpa terus itu.
Individu berumur 60 tahun ke atas boleh terus ke PPV itu bermula 2 petang pada setiap hari operasi pemberian vaksin di pusat terlibat.
“Mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas (selain warga emas) yang belum mendapat janji temu menerusi MySejahtera dan ingin mendapatkan dos penggalak boleh menghubungi dan berdaftar dengan PPV yang disenaraikan di www.protecthealth.com.my,” menurut kenyataan ProtectHealth yang dikeluarkan di sini hari ini.
PPV Offsite adalah PPV yang dioperasikan oleh pengamal perubatan swasta (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kesihatan di luar fasiliti kesihatan swasta mereka.
Ketika ini terdapat lebih 2,000 PPV Onsite, 177 PPV Offsite dan 221 PPV Jangkau Luar (Outreach) kendalian PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth dengan kapasiti pemberian vaksin lebih dari 300,000 dos sehari.
Menurut kenyataan itu, sehingga 19 Jan lepas, 10 juta dos penggalak telah diberikan dan 73.8 peratus atau 7.3 juta dos merupakan sumbangan PPS dan NGO kesihatan di bawah ProtectHealth. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.