Premis makanan boleh buka sampai 6 pagi

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

KUALA LUMPUR 12 April – Kerajaan membenarkan pengoperasian semua premis makanan di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan dilanjutkan sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu bagi membolehkan orang ramai membeli keperluan makanan untuk bersahur.

“Pihak kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada peniaga mengenai keperluan untuk membeli makanan bersahur terutama melibatkan orang bujang.

“Selepas ambil kira pandangan serta keperluan khususnya orang bujang dan lain-lain untuk dapatkan makanan bersahur, mesyuarat bersetuju semua restoran, warung, gerai, kedai makan atau ‘coffee house’ di dalam hotel, kedai makanan segera atau perkhidmatan penghantaran dibenarkan melanjutkan operasi mereka sehingga waktu sahur iaitu jam 6 pagi.

“Bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini operasi di restoran, kedai makan atau warung dihadkan sehingga jam 12 tengah malam.

“Jadi jika 12 malam kedai makan ditutup ia menimbulkan kesukaran kepada orang ramai yang memerlukan makanan untuk bersahur.

“Selepas ini kedai makan boleh diteruskan sehingga sahur jadi mereka yang ingin membeli makanan sahur boleh bungkus atau membeli di restoran yang dibuka.

“Bagaimanapun kebenaran ini hanya terpakai sepanjang Ramadan sahaja,” katanya.

Beliau berkata penganjuran majlis berbuka puasa seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan lain-lain premis juga dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan PKPB di Selangor, Johor, Kelantan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula 15 sehingga 28 April, manakala PKPB di Sarawak pula dilanjutkan dari 13 hingga 26 April ini.

Menurutnya PKPP di Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan, Perak, Negeri Sembilan (kecuali di Seremban) dan Kedah (kecuali di Kuala Muda) pula dilanjutkan mulai 15 hingga 28 April.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

696
Kongsi :
Previous post Ahmad Fuzi dilantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8
Next post Daging segar jadi rebutan menjelang 1 Ramadan
Ubah saiz-+=