Ahmad Fuzi dilantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

GEORGE TOWN 12 April. – Tan Sri Datuk Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan menggantikan Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas.

Menurut Buletin Mutiara, perkara itu diumumkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada sidang media di Komtar petang ini.

Menurut Kon Yeow, beliau menerima warkah pemakluman pelantikan daripada Yang Di-Pertuan Agong pada 8 April 2021.

“Baginda bertitah perkenan bahawa Tan Sri Datuk Ahmad Fuzi Abdul Razak dilantik sebagai TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memaklumkan majlis penyerahan watikah pelantikan Ahmad Fuzi akan diadakan pada 30 April ini di Istana Negara.

“Manakala istiadat Angkat Sumpah Jawatan akan berlangsung pada 1 Mei 2021 di Dewan Sri Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menguruskan segala upacara dan istiadat pelantikan sebaik mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) digariskan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Kon Yeo berkata, beliau mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan pelantikan Ahmad Fuzi sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan.

“Sesungguhnya segala jasa dan amanat yang diberikan oleh Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas kepada saya dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan senantiasa menjadi pedoman serta panduan dalam usaha untuk terus meletakkan kecemerlangan negeri Pulau Pinang di persada dunia,” katanya.

Sebagai rekod, Ahmad Fuzi adalah mantan Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri setelah berkhidmat di kementerian tersebut sejak 1972.

Kini, anak kelahiran Pulau Pinang itu adalah Ketua Setiausaha World Islamic Economic Forum Foundation (WIEF) serta menjawat beberapa jawatan lain di pelbagai organisasi dalam dan luar negara.

Terdahulu, Kon Yeow bersama-sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar dan Pegawai Undang-Undang Negeri, Datuk Norazmi Mohd. Narawi mengunjungi kediaman rasmi Abdul Rahman di Seri Mutiara pada 12.30 tengah hari tadi bagi memaklumkan mengenai warkah yang diterima.

Abdul Rahman dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 2001.

Beliau dilantik semula ke jawatan sama pada 2005, 2009, 2011, 2013, 2015 dan 2017.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

932
Kongsi :
Previous post MBMB, MPHTJ benarkan premis makanan beroperasi ketika sahur
Next post Premis makanan boleh buka sampai 6 pagi
Ubah saiz-+=