MBMB, MPHTJ benarkan premis makanan beroperasi ketika sahur

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 12 April. – Premis perniagaan kedai makan di kawasan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dibenar beroperasi 24 jam sepanjang Ramadan ini untuk kemudahan pelanggan bersahur.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Abu berkata, kebenaran itu juga bagi memberi peluang peniaga menjana pendapatan.

“Kita memberi kebenaran mana-mana premis perniagaan termasuk restoran untuk beroperasi dalam tempoh terbabit dan tiada keperluan untuk permohonan lesen 24 jam.

“Perkara ini untuk memudahkan peniaga dan memberi peluang mereka menjana pendapatan akibat terjejas dalam tempoh pasca pandemik COVID-19 kali ini.

“Bagaimanapun, MBMB menegaskan pemilik premis atau peniaga perlu memperketatkan dan mengikuti garis panduan prosedur operasi standard (SOP) kepada pelanggan bagi mengekang pandemik COVID-19,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) turut memberi kelonggaran sama untuk peniaga di kawasan pentadbirannya beroperasi 24 jam.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman bagaimanapun berkata, bagi peniaga yang tidak mempunyai lesen beroperasi 24 jam, pemilik premis perlu memohon kepada pihaknya sebelum beroperasi Ramadan nanti.

Katanya, permohonan lesen 24 jam boleh dilakukan secara terus dan tidak dikenakan bayaran serta akan dinilai Jawatankuasa Perlesenan MPHTJ.

“Kita membenarkan peniaga beroperasi 24 jam namun perlu memohon lesen terbabit. Setiap permohonan akan dinilai dan diproses dalam tempoh dua minggu.

“Dalam tempoh itu peniaga diminta mengikut SOP yang ditetapkan dengan mengutamakan pendaftaran pelanggan, melakukan pemeriksaan suhu badan, melaksanakan penjarakan fizikal dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan peniaga diingatkan mengekalkan kualiti makanan sihat dan paling utama harga jualan yang munasabah kepada pelanggan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

793
Kongsi :
Previous post Siap siaga hadapi pilihan raya tahap maksimum – Sulaiman
Next post Ahmad Fuzi dilantik Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-8
Ubah saiz-+=