Projek mega yang merancakkan kembali ekonomi diteruskan – PM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

MUAR 28 Jun – Beberapa projek mega yang dirancang oleh kerajaan sebelum ini dan tidak memerlukan peruntukan tambahan akan diteruskan bagi menyediakan peluang ekonomi dalam usaha kerajaan merancakkan ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Walaupun negara berhadapan dengan masalah (COVID-19) sehingga menyebabkan kos perbelanjaan kita besar tetapi satu strategi kita adalah untuk menyediakan peluang-peluang ekonomi seperti meneruskan projek-projek raksasa (mega) yang sudah pun diputuskan dahulu.

“Contohnya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan perbelanjaan RM40 bilion, projek lain yang telah diluluskan dahulu dan tidak memerlukan perbelanjaan tambahan baharu, memang tidak dihentikan, diteruskan…termasuklah yang kita telah putuskan seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang akan berhenti di stesen, antaranya Hab Pendidikan Pagoh,” kata Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan Masyarakat dalam Parlimen Pagoh di sini semalam.

Muhyiddin ketika mengulas mengenai HSR berkata sebagai Perdana Menteri dalam pentadbiran baharu, beliau telah meneliti balik dan mendapati ada keperluan untuk diteruskan tetapi butiran mengenai projek tersebut masih dalam proses perincian oleh kedua-dua kerajaan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga mengalu-alukan pihak swasta yang mahu menyertai projek berkenaan, sekaligus membantu dalam mengurangkan beban kos kerajaan dalam projek HSR.

Bulan lepas, kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju dan bersepakat untuk menangguhkan lagi projek HSR sepanjang 350 kilometer itu, yang sepatutnya berakhir pada 31 Mei lepas tetapi dilanjutkan sehingga penghujung Disember.

Dalam kenyataan berkaitan sebelum ini, Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan akan mengadakan perbincangan baharu dengan Singapura merangkumi beberapa cadangan perubahan yang membabitkan aspek komersial serta teknikal projek.

– BERNAMA

Views:

605
Kongsi :
Previous post PM gesa agensi kerajaan, PBT bantu peniaga terkesan Covid-19
Next post Lanjut moratarium, terhad pada golongan terjejas
Ubah saiz-+=