Projek naik taraf Bulatan Klebang sudah diluluskan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KLEBANG 16 April – Isu kesesakan yang berlaku di Bulatan Klebang bakal berakhir apabila permohonan menaik taraf kawasan berkenaan telah mendapat kelulusan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong memaklumkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka bersama KKR telah mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan dan kini dalam peringkat mengemukakan reka bentuk.

Jelasnya, reka bentuk itu, termasuklah membabitkan aspek pembesaran jalan di kawasan bulatan, selain menambah jalan dua lorong bagi melancarkan aliran trafik khususnya pada setiap hujung minggu.

“Seperti kita sedia maklum, Klebang merupakan antara destinasi tumpuan pelancong domestik dan luar negara memandangkan ia terletak di kawasan pesisir pantai.

“Jadi, saya melihat ini (pembesaran bulatan) merupakan satu perkembangan yang baik apabila ia diberi keutamaan untuk dinaik taraf hasil susulan lawatan Menteri Kerja Raya dan Timbalannya, sebelum ini.

“Saya amat berharap kelulusan kerja menaik taraf ini dapat memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pelancong, bahkan pengguna jalan raya dan penduduk di kawasan ini,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Tambah Ban Hong, pihaknya juga akan mengatur lawatan secara berkala bersama JKR bagi mendapatkan maklumat lebih jelas, termasuklah jadual pelaksanaan kerja-kerja naik taraf itu nanti.

“Setakat ini, saya menerima maklum balas cukup positif daripada jabatan terlibat yang mana mereka juga akan memastikan kerja-kerja ini diberi keutamaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

152
Kongsi :
Previous post MPHTJ pergiat kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir
Next post Lelaki maut tertimbus dalam telaga di Pasir Mas
Ubah saiz-+=