Pulau Undan bakal diwarta taman laut

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

DUYONG 16 Sept – Pulau Undan iaitu satu daripada gugusan pulau berhampiran Pulau Besar, bakal diwartakan sebagai taman laut sedikit masa lagi.

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, langkah itu diambil sebagai satu inisiatif melindungi khazanah laut dan memelihara ekosistem di kawasan terbabit.

Katanya, dengan pewartaan itu juga, ia dapat menjadikan kawasan pulau berkenaan satu tarikan eko pelancongan terbaharu di negeri ini.

PULAU Undan bakal diwartakan sebagai taman laut. (Kredit foto: reelthefish.blogspot) AHMAD menyerahkan kotak makanan kepada nelayan Melaka Tengah dalam program MAFI Prihatin.

“Insya-Allah bulan depan kita akan turun bersama kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan meninjau Pulau Undan untuk melihat sama ada ia sesuai dijadikan taman laut.

“Kelebihan taman laut ini ialah selain memelihara ekosistem, ia juga dapat dijadikan kawasan tumpuan pelancongan baharu seperti aktiviti scuba diving dan sebagainya.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibawa ke persetujuan kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum kita bawa ke peringkat atasan bagi proses pewartaan,” katanya.

PULAU Undan dilengkapi rumah api.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan MAFI Prihatin di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Muara Sungai Duyong, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pertanian negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Pengarah LKIM Melaka, Rosli Mustapa.

Dalam majlis itu, sebanyak 541 kotak makanan telah diedarkan kepada nelayan kawasan Melaka Tengah dengan peruntukan RM27,050.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, pihaknya bersama LKIM akan terus menggiatkan usaha mewujudkan tukun-tukun tiruan di perairan Melaka sebagai langkah untuk meningkatkan sumber perikanan di negeri ini.

Menurutnya, langkah itu penting memandangkan Melaka hanya berupaya menampung 22 peratus hasil perikanan dan selebihnya perlu dibeli dari negeri-negeri lain.

“Dianggarkan kita terpaksa membeli lebih kurang 30 tan bekalan ikan dan hasil laut secara harian bagi menampung permintaan di negeri ini.

“Diharap dengan tukun-tukun yang akan dibina nanti, ia dapat memulihkan sektor perikanan di Melaka,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2414
Kongsi :
Previous post UMNO Melaka turut dukacita nasib mangsa banjir
Next post Hatten Land eyes cryptocurrency mining, solar energy sectors in Melaka
Ubah saiz-+=