Resipi bapa mentua, lariskan jualan lemang

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 21 April – Lemang antara juadah wajib yang perlu ada selain ketupat bahkan bagaikan tidak lengkap hidangan pagi Syawal tanpanya.

Namun begitu setiap orang mempunyai citarasa berbeza dengan pemilihan tersendiri dalam menilai keenakan serta membeli lemang kesukaan mereka.

Begitu juga dengan penjual lemang apabila mereka juga mempunyai rahsia sendiri dalam menyediakan ramuan bagi memikat  hati pelanggan.

Bagi Ali Isnin, 51, dia yang sudah 10 tahun mengusahakan juadah hari raya itu berkata, percubaanya suatu ketika dahulu menjual lemang dengan menggunakan resipi bapa mentua ternyata berjaya memikat hati pelanggan.

96165E76-2A21-4247-A2B0-53AE9454CBB5
Lemang Pak Ali ini boleh didapati dengan harga RM10 sehingga RM25 bergantung kepada saiz lemang yang dipesan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pesara tentera dari Kem Sungai Udang itu berkata, resepi itu diperoleh kerana kerajinannya pada ketika itu yang sering membantu bapa mentuanya menyediakan lemang setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Sejak berniaga 10 tahun lalu memang saya tidak pernah ubah resipinya, ia memang asli daripada bapa mertua yang berasal dari Perak.

“Apa yang saya diberitahu oleh pelanggan mereka gemar lemang Pak Ali kerana kelembutan serta rasanya yang cukup membuatkan mereka tetap ke sini saban tahun.

“Mungkin sebab itu juga, mereka sanggup beratur dan menunggu giliran sehingga jam 3 pagi untuk mendapatkan lemang di sini.

“Alhamdulillah bagi saya kepercayaan pelanggan itu penting untuk kami berikan yang terbaik,” katanya yang berniaga di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Cheng, itu.

092FC6F6-38E5-4AE0-B75F-9A5BE223E4E6Menurutnya, kebiasaannya dia akan mula berniaga tiga hari terakhir Ramadan sehingga raya ketiga dengan menyediakan antara 3,000 hingga 3,500 batang lemang.

“Di sini kami masih ada lemang yang dijual dengan harga RM10, selain itu terdapat juga beberapa saiz lain yang dijual sehingga RM25 sebatang.

“Bagi memastikan operasi jualan lemang berjalan lancar dan pelanggan tidak perlu sehingga lewat malam, saya turut mengambil pembantu berbanding sebelum ini hanya membabitkan kami anak- beranak sahaja,” katanya yang turut menjual hidangan Rendang Tok, di gerainya.

Dia yang berasal dari Sabah berkata, selain Melayu pelanggannya turut terdiri daripada Cina dan India yang sama-sama akan beratur membeli lemang di gerainya itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7428
Kongsi :
Previous post Raya esok, tambah barang basah saat akhir
Next post Penggunaan dron bantu tingkat penguatkuasaan sistem KEJARA – JPJ
Ubah saiz-+=