Rumah ‘reput’ berganti baharu

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TABOH NANING 29 September – Tiada lagi igauan banjir berulang dan kediaman lama yang ‘mereput’ akibat kerap ditenggelami air berganti baharu, menjadi perkhabaran gembira buat Sabtu Yusof, 83, isteri, anak, menantu serta cucunya.

Warga emas itu yang kini semakin uzur meluahkan rasa syukur selepas menerima kunci kediaman baharu mereka menerusi bantuan Rumah Prihantin yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Zulkilflee Mohd Zin di Kampung Taboh Naning, di sini, hari ini.

“Syukur sangat akhirnya kami boleh tinggal di rumah lebih selesa, jika sebelum ini paling kurang kami terpaksa berdepan sekurang-kurangnya dua kali banjir besar setiap tahun, itu tidak termasuk banjir kilat.

“Jika mahu ambil kira kerugian anggaran ratusan ribu itu adalah minima kerana nilainya lebih besar daripada itu kerana banyak harta benda kami yang rosak akibat rumah dimasuki air banjir. Pinggan, mangkuk dihanyutkan air itu sudah biasa bagi kami sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara anaknya, Hamdan Sabtu, 36, berkata adik-beradiknya yang sebelum ini tinggal di rumah berasingan bersebelahan tapak rumah lama mereka juga sudah berpindah kerana sudah tidak tahan menanggung kerugian akibat banjir.

Katanya, akibat bencana besar melanda negeri ini hujung tahun lalu dia berputih mata apabila sebuah Proton Iswara Aeroback dan dua motosikal miliknya rosak teruk dan tidak lagi boleh digunakan akibat ditenggelami air.

“Kerana sudah tidak boleh guna saya terpaksa jual kereta itu sebagai besi buruk. lokasi kediaman lama kami yang berhampiran sungai menyebabkan rumah kerap dinaiki air hinggakan saya sudah lali. Penah berlaku kami hanya sedar berlaku banjir selepas air sudah memasuki rumah, jadi tidak sempat untuk selamatkan barang-barang.

“Perabot atau barang elektrik yang baru dibeli cuma bertahan paling lama dua atau tiga bulan sahaja, akibat terlalu kerap ditenggelami air banyak struktur kayu pada rumah sudah reput.

“Alhamdulillah permohonan Rumah Prihatin yang ayah hantar diterima dan sekarang siap sepenuhnya, saya akan tinggal bersama ayah dan ibu kerana perlu menjaga mereka yang kini semakin uzur,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1419
Kongsi :
Previous post Kes demam denggi meningkat – KP Kesihatan
Next post Perkeso, Perhebat bantu Veteran ATM cari kerjaya kedua
Ubah saiz-+=