Rumah Terbuka Aidilfitri 28 DUN Melaka diteruskan – KM

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

KUALA LINGGI 8 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di kesemua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan diteruskan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, buat masa ini, Kerajaan Negeri sedang menyusun jadual bagi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri itu sebelum membuat pengumuman rasmi kepada rakyat negeri ini.

Katanya, selain 28 DUN, Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh yang dijangka akan diadakan pada 25 April ini.

“Insya-Allah Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Negeri Melaka akan diadakan padahari raya keempat pada jam 8 hingga 12 malam.

“Saya dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri menjemput semua rakyat Melaka untuk hadir memeriahkan dan meraikan Aidilfitri ini di MITC pada hari tersebut.

“Pada masa sama, kita juga akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri Perhubungan UMNO Peringkat Negeri Melaka yang akan diadakan di Villa d’Acqua, Kampung Pulau yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Tautan Kasih 2023 di Auditorium Ibn Khaldun, Universiti Melaka (UNIMEL), di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri merangkap Canselor UNIMEL Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Rosli Abdullah; Naib Canselor UNIMEL Prof. Dr. Abdul Razak Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Prof Dr. Mohd Roslan Mohd Nor.

IMG_20230408_132428_241
PENYAMPAIAN sumbangan komputer riba kepada penuntut UNIMEL. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada majlis itu, Yayasan Taqwa-MAIWP telah menyalurkan beberapa sumbangan yang memberi manfaat kepada mahasiswa, pelajar sekolah dan masyarakat setempat di negeri Melaka.

Antara yang disampaikan pada majlis itu ialah sumbangan komputeri riba kepada 20 penuntut UNIMEL dengan peruntukan RM66,596.

Selain itu, bantuan yuran kolej turut diberikan kepada 89 penuntut Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST) dari keluarga B40 bagi meringankan beban mereka.

Turut disampaikan sumbangan Program Jom Ke Sekolah (JKS) 2023, Negeri Melaka iaitu sumbangan berupa set persekolahan bernilai RM148.10 seorang untuk diagihkan kepada 500 penerima yang datang dari keluarga kurang berkemampuan di sekitar negeri ini.

Pada masa sama, Yayasan Taqwa-MAIWP turut menyumbang RM150,000 bagi projek naik taraf Surau Al-Islah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, selain sumbangan kepada Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Kampung Baru bagi mengadakan Program Ihya’ Ramadhan.

Ab Rauf mewakili Kerajaan Negeri Melaka merakamkan ucapan terima kasih kepada Yayasan Taqwa-MAIWP di atas sumbangan yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2542
Kongsi :
Previous post Iftar Mega rai keluarga besar MiCoST
Next post Ab Rauf mahu pulihkan bola sepak Melaka
Ubah saiz-+=