Rupanya bau tahi ayam…

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

REMBIA 10 Nov. – Pencemaran bau busuk yang menghantui penduduk di Taman Krubong Jaya Fasa 3 dan Masjid Cina seperti yang dilaporkan Melaka Hari Ini (MHI) pada 7 November lalu, berpunca daripada bau najis ayam dari kebun sayuran di Rembia.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Mohd Fadhil Hassan berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di kebun terbabit dan mendapati pekebun berkenaan menggunakan najis ayam basah sebagai baja bagi tanaman bendi yang sedang diusahakan.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan MPAG pada minggu lalu, pihaknya mendapati punca bau busuk berpunca dari lori yang membawa najis ayam itu yang kemudiannya dicurahkan ke tapak tanaman.

“Kaedah itu menyebabkan gas berbau busuk dilepaskan dan tersebar ke kawasan persekitaran yang didiami penduduk.

LAPORAN Melaka Hari Ini pada 7 November lalu berkaitan isu tersebut.

“Jadi, kita telah mengeluarkan notis kepada pekebun terbabit dan mengarahkannya untuk menghentikan serta-merta operasi penyebaran baja yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada pekerja dan Ahli Majlis yang beragama Hindu di Bangunan MPAG, sebentar tadi.

Dalam pada itu, anggota penguatkuasaan MPAG akan terus membuat pemantauan di lokasi terbabit bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

Terdahulu MHI melaporkan lebih 800 penduduk di Taman Krubong Jaya dihantui dengan bau busuk yang didakwa berpunca dari sebuah tapak pertanian berhampiran.

Penduduk mendakwa selain bau busuk, kawasan terbabit turut menjalankan pembakaran terbuka yang dikhuatiri memberi kesan kepada kesihatan mereka.

Views:

1549
Kongsi :
Previous post Buku saringan kesihatan, tanggungjawab pemilik premis – Abdul Ghafaar
Next post Hari pertama PKPB, dah kena patah balik
Ubah saiz-+=