Sakit perut lepas makan ayam masak lemak

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Seramai 32 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka terpaksa dikejarkan ke klinik kesihatan selepas mengalami simptom keracunan makanan, awal pagi semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, siasatan awal mendapati kesemua mereka mengadu mengalami cirit-birit, sakit perut dan muntah.

Menurut beliau, simptom itu mula dialami pada pagi Isnin dan masakan yang disyaki menjadi punca ialah ayam masak lemak cili padi yang dimakan pada malam Ahad (30 Julai).

“Pelajar-pelajar mendakwa terdapat perubahan fizikal pada ayam yang dimakan, selain rasanya juga sedikit pelik.

“Selepas itu mereka mula mengalami tanda-tanda keracunan makanan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Peringgit untuk mendapatkan rawatan.

“Mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tiada pelajar yang dimasukkan ke wad,” katanya pada sidang media hari kedua Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keracunan makanan itu.

Menurutnya, dapur asrama tersebut diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam, mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, Hee Sem memaklumkan setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak lapan kes keracunan makanan telah dilaporkan di Negeri Melaka.

Katanya, jumlah itu melibatkan tiga kes di daerah Melaka Tengah, tiga di Alor Gajah dan dua di Jasin.

“Daripada jumlah tersebut lima melibatkan sekolah dan semua adalah terkawal dengan tiada kematian dilaporkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3753
Kongsi :
Previous post 23,448 bilik tampung pelancong sepanjang TMM2024
Next post Tingkat ilmu perkhidmatan pelanggan ‘frontliner’ pelancongan
Ubah saiz-+=