Sentimen perniagaan bertambah baik, namun kekal suram

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR 29 Jun – Sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Malaysia bertambah baik tetapi kekal dalam zon penguncupan pada suku ketiga 2020.

Menurut kajian Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Dun & Bradstreet (D&B) Malaysia, BOI meningkat sebanyak 8.53 mata peratusan daripada -21.86 mata peratusan pada suku kedua 2020 kepada -13.33 mata peratusan pada suku ketiga 2020.

Dari segi tahun ke tahun, BOI merosot 20.55 mata peratusan daripada +7.22 mata peratusan pada suku ketiga 2019.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Dun & Bradstreet (Malaysia) Sdn Bhd Audrey Chia berkata , D&B menjangka sentimen akan bertambah baik dalam tempoh beberapa bulan akan datang dengan aktiviti perniagaan yang disambung semula secara berperingkat dan perjalanan rentas negeri.

“Pakej rangsangan fiskal dan monetari kerajaan akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi, dengan pemulihan dijangka menjelang akhir separuh kedua 2020.

“Bagaimanapun, pertumbuhan dalam kebanyakan sektor dijangka terus suram, dengan penguncupan yang berterusan dalam sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan pembuatan,” katanya.

Laporan suku tahun BOI D&B Malaysia Index mengukur keyakinan perniagaan dalam ekonomi.

Berdasarkan kajian sentimen perniagaan yang bertujuan mendapatkan jangkaan perniagaan, D&B berkata ia antara cara paling berkesan untuk mengesan persepsi komuniti perniagaan mengenai persekitaran perniagaan dan hala tujunya.

– BERNAMA

Views:

387
Kongsi :
Previous post Warga kerja TNB Melaka ceria terima kunjungan Ketua Menteri
Next post Kempen galak rakyat menabung di Tabung Haji akan dilaksanakan
Ubah saiz-+=