Sinar Aidilfitri buat Ahmad

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 19 April – “Semoga raya ini menjadi Syawal bermakna buat saya dan ahli keluarga apabila kami dapat bersama kembali,” itu kata seorang remaja lelaki hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 12.

Menurut murid darjah enam itu yang juga penghuni Rumah Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM) berkata, berbeza dengan rakan sebaya yang lain kerana sambutan Aidilfitrinya tidak seindah mereka apabila dia terpaksa berpisah dengan bapa, ibu dan adik beradik yang lain.

Katanya, semua itu bermula apabila bapanya ditangkap polis dan dipenjarakan sehingga mengakibatkan abangnya terpaksa diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala dia pula dihantar ke PAYASUM.

Ahmad berkata, selepas dimasukkan ke rumah jagaan itu dengan bantuan pihak pengurusan akhirnya dapat mencari abangnya yang diletakkan di rumah kebajikan di Selangor.

“Selepas terpisah lama, saya amat gembira apabila diberitahu abang-abang saya berjaya dijejaki dan raya ini kami akan bertemu.

“Malah pada Ogos lalu ayah yang sudah dibebaskan dan dia ada datang berjumpa dengan saya dan berjanji akan beraya dengan kami termasuklah emak,” katanya ketika ditemui baru-baru.

Mengimbau kenangan pahit dilaluinya, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, ketika diselamatkan JKM, dia ditemui di sebuah gerai sebelum dibawa ke PAYASUM.

“Walaupun jauh di sudut hati, sedih dengan kehidupan dilalui namun saya amat bersyukur apabila mendapat ‘kehidupan baharu’.

“Di situ semuanya berubah, ketika berumur lapan tahun saya tidak tahu apa itu puasa, solat apatah lagi tetapi di PAYASUM banyak membentuk diri malah kini mampu menjadi seorang imam.

“Apabila bersatu kembali dengan keluarga, besar harapan saya agar ibu dan ayah dapat memulakan kehidupan baharu yang lebih baik selain kami dapat bersatu di bawah satu rumah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

841
Kongsi :
Previous post Korban demi mengawal perairan negara
Next post SKM salur bantuan perniagaan lebih RM2.2 juta
Ubah saiz-+=