SKM salur bantuan perniagaan lebih RM2.2 juta

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TELOK MAS 22 April – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan Bantuan Pembangunan Koperasi sebanyak lebih RM2 juta kepada 35 koperasi di seluruh negara tahun ini.

Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Amran Abdul Kadir berkata, jumlah yang disalurkan itu bermula pada Januari sehingga 18 April lalu.

Katanya, peruntukan bantuan itu bagi membolehkan semua koperasi berdaftar meningkatkan aktiviti perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan ahli mereka.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.49 juta yang diperuntukkan di bawah e-Fast disalurkan kepada  15 koperasi manakala bantuan menerusi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (Scope) berjumlah RM462, 840 telah disalurkan kepada tiga koperasi yang mana dua daripadanya adalah koperasi di Melaka.

“Bagi peruntukan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK), sebanyak RM301,700 telah disalurkan kepada 17 koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Bicara Konsolidasi Pembangunan, Majlis Iftar Gerakan Koperasi Negeri Melaka yang turut dihadiri Pengarah SKM Negeri Melaka, Mohd Firdaus Shaari.

Mengulas lanjut, Amran berkata bagi tahun 2022, SKM telah menyalurkan Bantuan Pembangunan Koperasi lebih RM30 juta kepada 623 koperasi di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain bantuan pembangunan itu, pihaknya turut menyediakan pinjaman sehingga RM30 juta.

“Bagi tahun ini setakat April, lebih RM64 juta pinjaman disalurkan yang mana sebanyak RM63,087,007 dipinjamkan secara bercagar kepada 26 koperasi.

“Manakala RM1,824,200 diberikan pinjaman tidak bercagar kepada 14 koperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1249
Kongsi :
Previous post Sinar Aidilfitri buat Ahmad
Next post Penceramah luar perlu mohon kebenaran khas mengajar di Melaka
Ubah saiz-+=