SOP masjid, surau Melaka dikekalkan
BUKIT KATIL, 8 Okt. – Prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau di negeri ini yang menetapkan satu pertiga kapasiti bagi aktiviti solat jemaah dan solat Jumaat masih kekal.
Mufti negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, tiada sebarang pindaan dilakukan pihaknya buat waktu ini dan masih berpandukan SOP sedia ada.
“Dengan situasi COVID-19 yang tidak menentu pada waktu ini, kita mengekalkan SOP sedia ada walaupun pada Isnin ada perbincangan untuk kecilkan penjarakan tetapi terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu.
“Tindakan mengekalkan SOP sedia ada adalah sebagai langkah pencegahan dan jemaah turut diingatkan untuk sentiasa mematuhi SOP seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kunjung hormat Melaka Hari Ini (MHI) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MHI Datuk Seri Abdul Jalil Hamid serta Ketua Pegawai Operasi Anuar Shaari serta hadir sama Timbalan Mufti Hazarudin Baharudin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebenaran kepada pencemarah jemputan daripada luar turut dibenarkan tetapi dengan kebenaran bersyarat.
“Bagaimanapun mana-mana kebenaran itu boleh ditarik balik sekiranya situasi COVID-19 tidak menentu serta keadaan yang mendesak.
“Banyak yang sudah diberi kebenaran sehingga hujung bulan ini termasuk sempena sambutan Maulidur Rasul dan pemantauan akan dibuat bagi memastikan setiap yang hadir mematuhi SOP,” katanya.