Suami isteri dihadapkan ke mahkamah ekploitasi warga vietnam

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

MELAKA 2 Jun  – Padah melacurkan lima wanita warga Vietnam, sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh Yong Yeow Hin,49 dan isterinya Le Thi Kim Anh, 39, yang juga warga Vietnam mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan didalam bahasa Mandrin dihadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan lima wanita warga Vietnam untuk tujuan ekploitasi seks.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah kafe dan pangsapuri di Taman Kenanga Mewah Seksyen 3, di sini, kira – kira jam 9.40 malam pada 12 Mei lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes memohon jaminan rendah diberikan kepada anak guamannya dengan alasan mereka mempunyai anak.

Terdahulu, prosiding pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh lelaki pernah disabitkan kes sama sebelum ini dan isterinya adalah warga asing.

Selepas mendengar hujah kedua- dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang serta pasport mereka diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah turut menetapkan 7 Julai depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Views:

345
Kongsi :
Previous post SPRM Kedah tahan tiga pegawai undang-undang P.Pinang minta suapan RM500,000
Next post KKJS sampaikan bantuan kepada 20 penerima
Ubah saiz-+=