Sut robot HAL bantu pesakit lumpuh kembali berjalan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Julai – Lebih 500 pesakit yang mengalami kelumpuhan kini kembali sembuh dan mampu bekerja seperti biasa hasil rawatan Teknologi Sut Robotik Hybrid Assistive Limb (HAL).

Teknologi itu dilaksanakan sejak November 2018 melalui Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Dr Hafez Hussain berkata, pihaknya berjaya merawat pesakit tersebut, sekali gus meningkatkan fungsi tubuh mereka secara menyeluruh.

“Kita menerima seluruh pesakit yang ingin datang ke sini untuk membuat rawatan, kita tak memilih apa jenis penyakit.

“Justeru itu, kita perlukan rantaian atau perkhidmatan yang berteknologi untuk membantu pesakit dengan lebih efisien, salah satunya adalah teknologi sut robot ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual Melaka Hari Ini (MHI) di pejabatnya di Pusat Rehabilitasi PERKESO Melaka.

“Sut itu akan dipakai di luar badan kita, ia bagi membantu mereka terutamanya yang mempunyai masalah kelumpuhan.

“Sut ini membantu untuk menguatkan kembali anggota-anggota badan yang lumpuh agar ia kembali berfungsi dengan lebih baik,” katanya.

Ujarnya, proses pemulihan bagi setiap pesakit yang menggunakan sut robot tersebut bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri.

“Secara puratanya, selepas sembilan sesi atau sembilan jam mereka akan lihat perkembangan positif atau sekurang-kurangnya perubahan daripada segi keupayaan.

“Itu pengalaman yang kita dapat daripada 2018 bagi 500 pesakit yang berjaya,” katanya lagi.

Views:

429
Kongsi :
Previous post Editor buku hina Jata Negara larikan diri ke luar negara
Next post Polis Melaka bakal terima 14 unit Honda Civic
Ubah saiz-+=