Syarikat telekomunikasi perlu tambah baik perkhidmatan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Januari – Syarikat telekomunikasi digesa menambah baik perkhidmatan di Negeri Melaka yang sinonim sebagai negeri pelancongan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ia berikutan hasil Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang dijalankan di beberapa lokasi mendapati terdapat lima panggilan terputus (dropped call) telah direkodkan.

Sehubungan itu, jelas beliau, semua pihak penyedia perkhidmatan berkaitan telah diminta untuk mengambil tindakan segera dan seterusnya melaporkan kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan kepada Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tambah beliau, pada sesi ujian tersebut, pihaknya turut melakukan ujian kelajuan muat turun jalur lebar tanpa wayar yang mana secara purata ia mencatatkan lebih 100 Mbps bagi kesemua penyedia perkhidmatan.

“Ujian ini merupakan yang kedua selepas sesi pertama diadakan di ibu negara melibatkan perjalanan dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi, Putrajaya pada 9 Januari 2024.

“Seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang giat dalam penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024, sesi ujian ini adalah tepat pada masanya bagi memastikan aktiviti pelancongan berjalan lancar dengan peningkatan kualiti perkhidmatan selular di Melaka, khususnya di lokasi tarikan pelancong.

“SKMM akan terus memantau perkara ini sepanjang suku pertama tahun 2024 dan akan mengemukakan laporan kepada Kementerian Komunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Bahagian Koordinasi Negeri Melaka, Bukhari Yahya dan lain-lain kenamaan.

Menurut Fahmi, ujian yang mengambil masa kira-kira 45 minit dilaksanakan oleh jurutera SKMM menggunakan Nemo Walker Air.

“Ada dua set Nemo Walker Air yang digunakan untuk dua jenis ujian iaitu panggilan secara berulang-ulang dan ujian kualiti perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar,” katanya.

Turut menyertai ujian tersebut adalah penyedia perkhidmatan mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech) dan Yes (YTL Communication) serta Telekom Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Lelaki didakwa terima deposit tanpa lesen lebih RM100,000
Next post Segelintir NGO manipulasi mangsa penipuan – Bukit Aman
Ubah saiz-+=