Tak lepas peluang beli ayam, siakap RM1

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DUYONG 11 Januari – “Memang terkejut bila dengar ada tawaran ikan siakap dan ayam dijual RM1, jadi saya tidak lepaskan peluang ini, saya sanggup beratur sejak awal pagi tadi meskipun pasar raya dibuka jam 9 pagi,” kata Osman Abu Bakar,54.

Menurutnya, jualan murah sempena promosi pembukaan sebuah pasar raya di Taman Desa Duyong itu menarik perhatian ramai pengguna hingga ada yang datang seawal jam 7 pagi kerana tidak mahu beratur panjang.

Katanya, tawaran itu amat berbaloi buatnya yang bekerja sendiri dan berharap pihak pengurusan mengadakan promosi itu secara lebih kerap.

“Ramai yang datang pagi ini adalah dalam kalangan orang kampung, golongan B40, kalau harga sangat murah memang amat membantu kami berjimat. Beratur panjang, tunggu lama tak apa asalkan puas hati,” katanya.

Terdahulu, pembukaan pasar raya itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Lim Chow Beng dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar.

Tinjauan mendapati, berlaku sedikit kesesakan di persimpangan jalan berhampiran, berikutan orang ramai berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

Antara promosi lain turut mendapat perhatian orang ramai adalah kentang dan buah tembikai yang ditawarkan pada harga 99 sen.

Seorang lagi pelanggan, Nurul Asma Dollah, 44, berkata, dia turut tidak melepaskan peluang itu dan sanggup datang dari kediamannya di Tehel untuk membeli barang keperluan dapur dengan lebih murah.

“Barangan lain seperti beras tempatan dijual RM26 dan bawang juga murah. Ini memang perkara yang ditunggu-tunggu suri rumah seperti saya dan harap promosi ini diteruskan lagi kerana sekurang-kurangnya dapat membantu kami berjimat,” katanya.

Sementara itu Pengarah Stor (Kawasan Sentral 2) Lotus’s Malaysia, Jayakumar Govindan berkata, promosi itu ditawarkan bermula hari ini dan esok kepada 250 pelanggan terawal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3710
Kongsi :
Previous post Peluang anak muda menyinar dalam e-sukan
Next post Warga emas maut kemalangan di Jalan Hutan Simpan
Ubah saiz-+=