Taman Mutiara Batu Berendam dicadang jadi pusat konservasi burung air

Masa Membaca:2 Minit, 38 Saat

BATU BERENDAM 7 Disember – Kerajaan Negeri mencadangkan kawasan paya di Taman Mutiara dijadikan sebagai pusat konservasi burung air di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, untuk itu, pihaknya meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) negeri perlu menggunakan kepakaran yang ada untuk merealisasikan hasrat itu.

Katanya, jika ia mampu direalisasikan, Melaka bakal menjadi antara lokasi pemuliharaan ekologi dan pemeliharaan spesies burung air di negara ini.

Ia sekali gus mampu membawa pulangan kepada negeri hasil pelaksanaan program antaranya kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT), kajian sains dan teknologi demi kesejahteraan habitat.

“Burung air adalah spesis burung yang secara ekologi bergantung kepada kawasan paya dan mempunyai elemen air untuk menjadi tempat persinggahan migrasi dan mengikut pemantauan Jabatan Perhilitan, burung-burung yang ada terdiri daripada spesies yang dilindungi di mana lebih dari 16 spesis burung telah dikesan, dengan sejumlah lebih dari 3,000 ekor burung.

“Lokasi ini mula diduduki sejak bulan Mac tahun ini dan pada kebiasaannya burung migrasi akan memilih untuk pindah sekiranya terdapat perubahan pada persekitarannya yang dilihat boleh menggugat kesejahteraan habitat mereka.
“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua yang datang menghayati burung untuk turut memainkan peranan melindunginya, sesungguhnya pembangunan yang pesat perlu diimbangi alam sekitar yang sihat.

“Menyedari impak ekonomi kepada eko pelancongan saya berharap Jabatan Perhilitan negeri dengan kepakaran yang ada dapat mengusulkan agar tanah lapang ini dijadikan kawasan konservasi burung air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Hadiah Fotografi ‘Kehidupan Burung Air di Taman Mutiara Melaka’ diadakan di sebuah hotel, di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pengurus Besar BPP, Sa’ari Basiron.

photo1670409656
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri Sa’ari Basiron berucap mewakili Muhammad Jailani pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi ‘Kehidupan Burung Air’ di Hotel Premier 906, Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka. Foto: MR. AZLI

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi pertandingan yang diadakan dengan kerjasama pelbagai badan dan agensi itu mampu mempromosikan lokasi baharu pelancongan di negeri ini.

Katanya, pertandingan diadakan bermula pada 7 Oktober hingga 7 November lalu telah berjaya menarik minat 67 orang peserta dari seluruh negara termasuk Singapura dengan hasil karya melebihi 600 keping gambar aktiviti-aktiviti burung air yang bersarang di lokasi terbabit.

“Dengan tujuan untuk mempromosikan tempat ini aktiviti pertandingan ini turut berjaya menarik ramai peminat fotografi dan orang awam untuk menghayati burung air malah melalui hasil “snapshot” menarik akan memberi kesedaran kepada orang awam untuk mengenali habitat burung ini.

“Saya percaya ramai di antara kita masih kurang pengetahuan mengenai burung air seperti ‘Blue Heron’, ‘Purple Heron’, ‘Black Crowned Night Heron’, ‘Egret’, ‘Openbill’ dan lain-lain lagi,” katanya.

photo1670411281
Pengunjung melawat ruang pameran gambar burung pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi ‘Kehidupan Burung Air’ di Hotel Premier 906, Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka. Foto: MR. AZLI

Terdahulu, menerusi pertandingan itu tujuh pemenang telah dipilih membabitkan tiga pemenang utama yang membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM1,500 berserta piala dan hamper diikuti 4 pemenang saguhati menerima replika cek bernilai RM500 termasuk piala dan hamper disampaikan Sa’ari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6344
Kongsi :
Previous post Pukul isteri dan anak, penganggur dipenjara sembilan tahun
Next post Berhabis puluhan ribu demi ‘buru’ burung
Ubah saiz-+=