Tambah ilmu dan berikan perkhidmatan terbaik

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 11 Oktober – Peguam syarie Negeri Melaka diingatkan supaya sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan perundangan yang terbaik kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, selain itu keadilan asasi atau ‘natural justice’ juga haruslah difahami dengan lebih mendalam kerana ia amat menitik beratkan mengenai perundangan yang adil dan hukuman yang saksama.

“Tanggungjawab utama harus dipikul oleh peguam syarie ialah membantu menegakkan keadilan dalam proses pengendalian perbicaraan sehinggalah penghakiman pada akhir perbicaraan.

“Berikutan itu peguam syarie hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan berkaitan bidang tugas selain cakna dengan perkembangan perundangan dan kehakiman syariah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Melaka 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Menurutnya, kualiti proses pengadilan yang dilaksanakan oleh pegawai mahkamah termasuk peguam syarie juga perlu dititikberatkan dalam perkhidmatan kehakiman syariah.

“Kualiti proses pengadilan yang baik akan membolehkan masyarakat mendapat keadilan dengan cepat dan tepat.

“Bagi mendapatkan keputusan yang terbaik, maka saya melihat perlu ada kerjasama yang utuh antara mahkamah syariah dan peguam syarie,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2102
Kongsi :
Previous post Gunakan kuasa memilih dengan bijak
Next post 4,134 kes rumah tangga didaftarkan di Melaka
Ubah saiz-+=