Tapak warisan UNESCO akan terus dijaga – KM

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 14 Ogos – Kerajaan negeri akan memastikan kawasan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di negeri ini tidak terjejas dengan sebarang kerja mempelbagai dan menambah baik produk pelancongan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, Melaka adalah antara contoh bandar yang mempunyai kepelbagaian warisan, kebudayaan serta tradisi Asia dan pengaruh Eropah.

Menurutnya, ia dapat dilihat melalui reka bentuk rumah, rumah ibadat, penempatan kaum serta budaya hidup masyarakat.

Beliau berkata, usaha memulihara semua bentuk warisan sehingga negeri ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara membolehkan Melaka dianugerahkan Grand Winner of Jean Paul L’Allier Prize for Heritage of The Organization of World Heritage Cities (OWHC) pada 9 September 2021.

“Tahniah dan syabas kepada semua yang terbabit dalam memulihara semua bentuk warisan di Melaka, sama ada warisan ketara dan tidak ketara sehingga berjaya memberikan nilai komersial khazanah warisan sejarah sebagai produk pelancongan popular.

“Oleh itu kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Melaka World Heritage Office (MWHO) akan memastikan kualiti pengurusan dan kemudahan infrastruktur merangkumi pengindahan kawasan serta pengangkutan awam berada di tahap terbaik.

“Ini seiiring dengan Rancangan Tempatan MBMB 2035 dan disamping, mempelbagaikan dan menambah baik produk pelancongan tanpa menjejaskan tapak warisan UNESCO,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Melaka Heritage Parade 2022, sempena Sambutan Ulangtahun Ke-14 Melaka Bandaraya Warisan Dunis (UNESCO) 2022.

Teks ucapannya dibacakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari.

MELAKA 14 OGOS 2022. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari berucap mewakili Ketua Menteri pada Majlis Perasmian Melaka Heritage Parade sempena Melaka Heritage Festival 2022 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Jalan Parameswara, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Majlis tersebut telah dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Duta Mexico, Edmund Font Lopes; Duta Timor Leste, Joanna Veneranda Amaral; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri amat berbesar hati dapat mengekalkan kepelbagaian sejarah yang terdapat di Melaka.

“Kerajaan negeri juga akan memastikan bangunan dan kawasan bersejarah akan terus dikekalkan bagi memberi inspirasi kepada generasi akan datang.

“Status UNESCO World Heritage juga menyumbang kepada kedatangan pelancong dan pada 2019 seramai 18.7 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Melaka dan selepas pandemik COVID-19 jumlah disasarkan seramai 5.6 juta orang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4780
Kongsi :
Previous post Melaka Heritage Festival 2022 meriah!
Next post Cat semula menara jam Banda Hilir dijangka siap November
Ubah saiz-+=