Sorting by

×

Tempoh percubaan pelaksanaan RFID adalah kritikal sebelum diperluaskan – Fadillah

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Plaza Tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) buat masa ini adalah bagi memastikan keberkesanan sistem itu sebelum ia diperluaskan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata tempoh percubaan yang dilaksanakan oleh PLUS itu bagi membuktikan teknologi berkenaan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi di lebuh raya.

“Sebab itu tempoh percubaan ini adalah kritikal untuk kita mengenal pasti daripada segi teknologi, pentadbiran, perundangan serta kelancaran ataupun efisiensi sistem yang ada itu dan tidak akan membebankan rakyat dan pengguna lebuh raya itu sendiri.

“Itulah yang sedang kita lihat dan perincikan di peringkat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris yang ingin tahu sama ada Kementerian Kerja Raya akan mempertimbangkan untuk sistem SmartTag dan RFID disatukan dalam lorong yang sama bagi pembayaran tol memandangkan kedua-dua sistem itu diletakkan di lorong berasingan.

Fadillah berkata pembekal perkhidmatan bagi kedua-dua sistem pembayaran tol itu adalah berbeza maka teknologi serta ‘reader’ (pengesan tekonologi) juga tidak sama.

“Sekiranya diletakkan dalam satu lorong, ia akan menyebabkan kecelaruan untuk mengenal pasti sistem tag yang digunakan maka disebabkan itu, mereka mengasingkannya,” katanya.

Mengenai harga RFID, Fadillah berkata nilai RM35 itu merangkumi kos tag, pemasangan tag, sistem dan pengoperasian, namun kerajaan telah meminta supaya pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd untuk mengkaji semula kos itu bagi tujuan mengurangkan harga jualan.

Fadillah menjawab soalan asal Senator Muhammad Zahid Md Arip yang ingin tahu asas perundangan LLM bagi mewajibkan penggunaan RFID berharga RM35 sedangkan sistem kad Touch ‘n Go (TnG) hanya melibatkan kos RM10.

“Pelaksanaan sistem kutipan tol dengan menggunakan teknologi RFID pada masa ini merupakan pilihan pengguna di samping pihak lebuh raya masih mengekalkan mod pembayaran lain seperti kad Touch ‘n Go dan SmartTag.

“Kementerian sentiasa mengkaji dan meneliti pilihan yang sesuai bagi memastikan kemudahan pengguna dalam melaksanakan transaksi tol di lebuh raya diutamakan,” katanya menambah pengenalan RFID selaras hasrat kerajaan untuk beralih kepada sistem kutipan tol secara Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

768
Kongsi :
Previous post Ibu bapa mendiang Teoh Beng Hock fail tindakan undang-undang
Next post Sarawak catat peratusan vaksinasi kanak-kanak tertinggi
Ubah saiz-+=