Tiada aktiviti pembelian panik di Melaka

AYER KEROH 5 Okt. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menafikan berlakunya aktiviti pembelian panik di negeri ini walaupun terdapat dakwaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemungkinan akan dilaksanakan semula dalam masa terdekat.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dan bekalan makanan sentiasa mencukupi pihaknya melalui Seksyen Penguatkuasa melaksanakan pemeriksaan setiap hari.

“Sehingga semalam KPDNHEP Melaka tidak menerima sebarang aduan berkaitan pembelian panik ataupun kekurangan bekalan makanan di pasaran.

“Sejak kebelakangan ini pertambahan kes positif COVID-19 telah menimbulkan kerisauan seluruh rakyat, malah ini sedikit sebanyak menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat khasnya penduduk di Negeri Melaka,” katanya.

Menurut beliau, sejak 1 Januari hingga semalam, sebanyak 16,278 premis perniagaan diperiksa meliputi semua lapisan perniagaan iaitu peruncit, pemborong dan pengilang atau peladang.

“Sebanyak 741 aduan rasmi yang mana secara amnya berkaitan perihal harga diterima pihaknya semalam dengan 210 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM634,982.

“Sebanyak RM110,550 kompaun dan RM171,000 denda telah dikeluarkan meliputi semua kesalahan yang telah diambil tindakan.

“KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Norena berkata, untuk sebarang pertanyaan lanjut atau orang ramai yang ingin menyalurkan aduan, mereka boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal pukul 8 pagi hingga 6 petang atau menghubungi ECC Putrajaya yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Views:

79
Previous post COVID-19: Satu kes dikesan di Masjid Tanah
Next post COVID-19: 383 tabika dan taska KEMAS ditutup