‘Tiada lagi panggilan ayah di pagi Syawal’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 April – Di saat anak-anak lain bergembira untuk menyambut Syawal yang bakal tiba tidak lama lagi, namun berbeza bagi Azihamqa Abdul Latip, 15.

Ia berikutan kematian bapanya pada 10 Ramadan lalu (1 April) selepas tiga tahun bertarung nyawa akibat penyakit angin ahmar (strok).

Kata pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal itu, tahun ini bakal menjadi yang pertama untuknya bersama ibu, kakak serta dua adiknya menyambut Syawal tanpa seorang insan yang bergelar ‘ayah’.

Menurutnya, hanya pusara arwah ayah bakal menjadi pelepas kerinduan buat mereka sekeluarga tahun ini.

“Ayah menderita penyakit strok tahun 2019 dan selepas itu kesihatannya semakin merosot dari hari ke hari sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir awal Ramadan tahun ini.

“Biasanya setiap pagi ayah akan bangun awal dan panggil saya untuk bawa dia ke tandas, tapi selepas ini tiada lagi panggilan daripada ayah pada setiap hari dan pagi Syawal, sudah pasti saya akan merindui detik itu.

“Setiap kali raya kuih kegemaran ayah adalah tart nanas, kami juga akan membuat persiapan hari raya seperti mengacau dodol dan membakar lemang, namun tahun ini suasana itu menjadi suram,” katanya ketika ditemui pemberita.

photo1681107246
Azihamqa melihat foto kenangan arwah ayahnya. Foto: MR. AZLI

Terdahulu Azihamqa menerima sumbangan pada program Sumbangan Hari Raya anjuran Sri Pengkalan Binaan (SPB) Sdn Bhd di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal di sini, hari ini.

Sebagai anak sulung, Azihamqa bagaimanapun berjanji akan menjaga semua ahli keluarganya dan sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas pemergiaan bapanya.

“Bagaimana saya mampu menjaga arwah ayah sebelum ini, saya berjanji akan menjaga ahli keluarga saya sebaik mungkin, ini adalah amanah untuk saya selepas ayah tiada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1757
Kongsi :
Previous post RM10,000 bantu pelajar susah di lima sekolah
Next post Permohonan pengampunan diraja Najib tidak pernah dibincang di Kabinet – Loke
Ubah saiz-+=