Tiada pemain lari sebab gaji

0
923
KETUA Jurulatih MU, Zainal Abidin Hassan

KETUA Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan menempelak dakwaan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan dua pemainnya ‘angkat kaki’ dari pasukan disebabkan faktor gaji dan layanan buruk.

Sebaliknya, tegasnya, dua pemain berkenaan, Curran Singh Ferns dan Narupon Wild Putsorn mempunyai sebab peribadi sehingga masing-masing membuat keputusan meninggalkan pasukan.

“Kenyataan yang tersebar di akhbar itu adalah satu salah tafsiran. Yang pertama mengenai Curran Singh, dia sendiri yang meminta untuk berhijrah dan bukannya sebab faktor lain kerana isu gaji saya rasa tidaklah tertunggak.

“Apapun, kita masih meneliti permintaan tersebut dan masih perlu mempertimbangkannya lagi.

“Mengenai Nazza (Narupon Wild) pula dia membuat keputusan tersebut disebabkan tekanan akibat terlalu lama di Malaysia akibat Covid-19. Saya tidak nafikan ada sedikit faktor kelewatan gaji hingga membuatkan dia memilih untuk mengikut pilihan keluarga.

“Tetapi jika membabitkan layanan yang tidak baik dan gaji tertunggak begitu lama, itu tidak benar dan saya nafikan,” katanya ketika ditemui sebelum sesi latihan pasukan di Stadium Hang Jebat.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan pemain kacukan Malaysia-Australia, Curran Singh dan pemain import kuota Asia Tenggara MU, Narupon Wild memilih untuk meninggalkan pasukan akibat tidak lagi percaya dengan janji manis pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji.

Laporan tersebut hanya memetik sumber dalaman dan bukannya kenyataan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) sendiri.

Mengulas mengenai kehilangan seorang lagi pemain import kuota Asia, Jang Suk-Won dalam sesi latihan, Zainal menjelaskan pemain itu tidak meninggalkan pasukan, sebaliknya hanyalah terperangkap di negara asalnya, Korea Selatan, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).