TIC Mobile ronda satu negara promosi pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 20 April – Melaka muncul negeri pertama mewujudkan Pusat Informasi Pelancongan Bergerak (TIC Mobile) bagi memberi kemudahan kepada pelancong mendapatkan maklumat dan promosi sektor pelancongan di negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, inisiatif itu merupakan antara langkah awal bagi mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut beliau, TIC Mobile dijadual akan digerakkan ke seluruh negara bagi mempromosi sektor pelancongan negeri tahun ini dengan menawarkan pelbagai promosi pelancongan termasuk pakej-pakej menarik kepada orang ramai.

“TIC Mobile pertama dalam Malaysia ini telah diwujudkan di Melaka dan akan digerakkan ke seluruh Malaysia untuk mempromosikan pelancongan negeri ini, lebih-lebih lagi menjelang TMM2024.

“Terima kasih kepada Kementerian Kewangan yang memberikan kemudahan ini kepada Negeri Melaka dan Kerajaan Negeri menyambut baik kepada usaha ini bagi memberi kemudahan yang lebih tepat kepada pelancong.

“Kita telah menetapkan jadual untuk TIC Mobile ini pusing ke seluruh Malaysia bagi mempromosikan pelancongan Melaka dan kita harap usaha hebat ini akan memeriahkan lagi kemasukan pelancong domestik dan luar negara untuk menyambut TMM2024 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan TIC Mobile dan Edaran Pek Kuih Raya Kepada Pelancong di Lebuh Ayer Keroh, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Badaruddin Mohd Kassim; Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.

Pada majlis itu, kira-kira 1,000 kenderaan dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang memasuki pintu masuk negeri ini diraikan dengan pemberian pek kuih raya disampaikan Abdul Razak.

Difahamkan, cadangan jadual TIC Mobile bergerak bakal bermula 26 Mei sehingga Disember depan membabitkan lapan lokasi terpilih.

Jelajah itu dijangka akan dimulakan di sebuah pusat beli belah di Nilai, Negeri Sembilan, selain di beberapa negeri lain seperti Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Perak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1209
Kongsi :
Previous post Mantai Aidilfitri: Orang ramai serbu pasar
Next post Penantian 3 tahun tahun berakhir, 246 nelayan terima pampasan
Ubah saiz-+=