Penantian 3 tahun tahun berakhir, 246 nelayan terima pampasan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PANTAI KUNDOR 20 April – Penantian 246 nelayan berlesen di Tanjung Kling sejak tiga tahun lalu berakhir apabila menerima wang ihsan dengan nilai keseluruhan hampir RM100,000 daripada Pelabuhan Tanjung Bruas (Tanjung Bruas Port).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, wang ihsan atau sebenarnya wang pampasan itu adalah ganti rugi yang dibayar oleh pihak terbabit selepas melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jeti sepanjang 50 meter di perairan Tanjung Kling sejak tiga tahun lalu.

Katanya, ekoran kerja-kerja berkenaan, pendapatan nelayan dari lapan pangkalan dan jeti pendaratan di Melaka Selatan dikatakan terjejas.

“Antara pangkalan nelayan yang dikatakan terkesan dengan kerja-kerja menaik taraf jeti itu ialah Tanjung Kling, Klebang, Balik Bukit, Pantai Kundur, Pantai Puteri, Sungai Lereh dan Pengkalan Perigi.

“Setiap seorang menerima RM400, dan saya sangat bersyukur apabila berjaya melunaskan juga hal yang membelenggu nelayan ini.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang banyak membantu dalam usaha pertemuan serampang dua mata bersama pihak pelabuhan, ketegasan beliau antara faktor nelayan menerima wang ihsan ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Serahan Wang Ihsan di Dewan Serbaguna Hang Lekir Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Melaka, Darleena Baharuddin.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata wang ihsan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban nelayan dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

“Pampasan tersebut yang dibayar oleh pihak pelabuhan bernilai RM98,500 dan kita agihkan sama rata kepada semua nelayan yang terjejas.

“Alhamdulillah, pembayaran pula dapat dilakukan ketika sedang elok menjelang hari raya, dapatlah mereka membuat persiapan hari raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2846
Kongsi :
Previous post TIC Mobile ronda satu negara promosi pelancongan Melaka
Next post Aidilfitri: Lebuh SPA, AMJ dan Jalan Ayer Keroh lokasi panas kemalangan
Ubah saiz-+=