Aidilfitri: Lebuh SPA, AMJ dan Jalan Ayer Keroh lokasi panas kemalangan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 April – Tiga lokasi panas kerap berlaku kemalangan apabila menjelang musim perayaan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tiga lokasi tersebut adalah di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput -Ayer Keroh (SPA) dan Jalan Ayer Keroh lama.

Katanya, memandangkan tiga lokasi tersebut kerap berlaku kemalangan, pihak berkuasa terutama JPJ akan meningkatkan pengawalan di lokasi tersebut.

“Diharapkan kenderaan yang melalui jalan ini untuk berhati-hati, kita tahu musim perayaan kenderaan akan banyak di atas jalan raya, jadi patuhi had kelajuan yang telah ditetapkan.

“Untuk had kelajuan negeri, semua lokasi yang hadnya 90 kilometer perjam (kmj) diturunkan kepada 80kmj.

“Penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) juga akan dilaksanakan bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 22 dan 23 April 2023 dan larangan tersebut akan berkuatkuasa pada 20 dan 21 April 2023 iaitu sebelum perayaan serta pada 24 dan 25 April 2023, selepas perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) di Terminal Melaka Sentral, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff.

Mengulas lanjut, Hameed berkata seperti musim perayaan yang lain, larangan tersebut dibuat bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik di antara kenderaan barangan seperti lori dan treler dengan kenderaan persendirian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1578
Kongsi :
Previous post Penantian 3 tahun tahun berakhir, 246 nelayan terima pampasan
Next post Barangan keperluan hari raya mencukupi – Exco
Ubah saiz-+=