Tiga pulau akan diangkat sebagai produk pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 3 Okt – Tiga pulau yang dicadang untuk diwartakan sebagai Taman Laut Negara, akan diangkat sebagai produk baharu pelancongan Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini cadangan itu dalam peringkat pelaksanaan bagi menyelaras dan merangka beberapa kaedah yang perlu diambil oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Jelasnya, beberapa kajian akan dijalankan agensi terlibat termasuk Jabatan Perikanan, bagi mewartakan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol untuk diangkat sebagai Taman Laut Negara.

Sulaiman

“Kesemua agensi berkaitan akan terus menjalankan kerja-kerja menyelaras dengan kajian akan dijalankan agar kita dapat merancang bagaimana untuk memajukan kawasan ini.

“Apabila ia menerima persetujuan dan kelulusan dari pelbagai agensi, kita yakin Melaka mampu merekodkan sebuah lagi produk baharu pelancongan yang mampu menggamit pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau tersebut.

“Kita dapati spesies ikan dan koral (terumbu karang) terdapat di kawasan terbabit merekodkan antara hidupan yang ada seperti di taman laut di negara ini dan ini diyakini akan memberi potensi terhadap pelbagai aktiviti pelancongan boleh dibuka di tiga pulau terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MHI selepas melakukan lawatan Ziarah Kasih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi dan Tanjung Bidara, pagi tadi.

Semalam MHI melaporkan Timbalan Menteri Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah bercadang untuk mewartakan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sebagai Taman Laut Negara.

Bagaimanapun pewartaan terbabit hanya melibatkan radius satu batu nautika (dari pantai ke laut) di setiap pulau dan tidak merangkumi kawasan daratan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Datuk Seri Zolkples Embong meninggal dunia
Next post Pelancongan Melaka perlu ada SOP tambahan – Sulaiman
Ubah saiz-+=