TMM2024 buka peluang produk ‘made in’ Klebang bersinar

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KLEBANG 20 April – Penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) membuka peluang kepada kepelbagaian produk pelancongan di Klebang diangkat ke satu tahap lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, memandangkan Klebang yang dikelilingi pantai yang indah dan sawah padi menghijau merupakan antara destinasi tumpuan, ia secara tidak langsung dapat memberi tempias kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di kawasan tersebut.

Jelas beliau, antara produk tempatan yang terkenal di DUN Klebang ialah seperti jambu batu, kelapa, kuih-muih tradisional dan produk cenderamata yang dihasilkan penduduk tempatan.

“Saya fikir TMM2024 merupakan peluang untuk pengusaha dan peniaga kecil di kawasan ini untuk mengembangkan lagi perniagaan supaya produk-produk mereka lebih dikenali dan dapat dikembangkan ke pasaran lebih luas.

“Malah inilah juga masanya untuk penduduk di kawasan ini memperkenalkan produk-produk baharu berkaitan pelancongan seperti tapak penginapan konsep baharu ‘glamour camping’ atau glamping yang diperkenalkan di Bukit Rambai.

“Saya percaya, semua produk yang diperkenalkan bukan sahaja menambah daya tarikan pelancongan di DUN Klebang tetapi juga membantu TMM2024,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai, di sini.

Terdahulu, majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

151
Kongsi :
Previous post MPAG ceriakan suasana malam di Alor Gajah
Next post Hakisan: Pantai Puteri ditambak pasir 60 meter
Ubah saiz-+=